BOLA SEPAK MSIA
Afiq Fazail, Natxo Insa tiada dalam barisan terbaru Harimau Malaya
Pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Afiq Fazail dan Natxo Insa, tercicir dalam senarai terbaru panggilan antarabangsa Harimau Malaysia selepas kali terakhir beraksi dalam Piala Asia di Qatar.
Selain itu, Syahmi Safari, Mohamadou Sumareh dan Khuzaimi Piee turut digugurkan.
Ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-Gon, hari ini mengeluarkan senarai awal barisan pemain sempena skuad Harimau Malaya menghadapi perlawanan ketiga Pusingan Kedua Kelayakan Piala dunia 2026/Piala Asia 2027.
Seramai 33 pemain akan mula melaporkan diri untuk latihan pusat bermula Jumaat depan sebelum menamakan skuad 23 pemain.
Barisan negara akan bertandang ke Muscat untuk menghadapi Oman pada 21 Mac sebelum menjadi tuan rumah dalam perlawanan timbal balik di Stadium Nasional, Bukit Jalil, lima hari kemudian.
Malaysia membuka langkah positif dalam kempen kelayakan apabila menewaskan Kyrgyzstan 4-3 dan Chinese Taipei 1-0 untuk menerajui Kumpulan D.