Pemain Manchester United, Amad Diallo, menarik diri daripada menyertai Ivory Coast sempena kelayakan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) menentang Sierra Leone atas sebab kesihatan.

Diallo, yang telah membuat enam penampilan untuk negaranya telah kembali ke Manchester bagi persiapan menghadapi perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Brentford.

Pemain berusia 22 tahun itu telah mewakili Ivory Coast sejak 2021 dan dipanggil semula menyertai Emerse Fae dalam kemenangan ke atas Zambia dan Chad, Jun lalu, selepas 15 bulan tersisih.

Ivory Coast sedar dua kemenangan ke atas Leone Stars akan memastikan kemaraan mereka ke pusingan akhir kejohanan itu yang bakal berlangsung di Maghribi, penghujung tahun depan.

Satu kenyataan Ivory Coast berbunyi, “Persekutuan Bola Sepak Ivory Coast ingin memaklumkan bahawa pemain, Amad Diallo, telah menyertai pasukan pada Isnin lalu sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi perlawanan ketiga dan keempat AFCON Maghribi 2025 tetapi perlu diketepikan atas sebab kesihatan.”

Diallo merupakan pemain terbaru dalam barisan Erik ten Hag yang terpaksa menarik diri daripada tugasan antarabangsa bersama negara masing-masing.



Alejandro Garnacho (Argentina), Kobbie Mainoo (England) dan Noussair Mazraoui (Maghribi) juga telah menarik diri sebagai langkah berjaga-jaga.

Diallo telah membuat 10 penampilan untuk United musim ini dengan menjaringkan satu gol dalam kekalahan 1-2 pasukannya kepada Brighton pada permulaan kempen 2024-25.

Bagaimanapun, dia masih belum mendapat mengukuhkan posisinya memandangkan Ten Hag gemar mengubah pilihannya menerusi khidmat Garnacho dan Marcus Rashford.