Pejuang kanser, Sebastien Haller, mencetus inspirasi buat tuan rumah apabila Ivory Coast menjuarai Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) buat kali ketiga dengan jaringan kemenangan di penghujung permainan untuk bangkit daripada ketinggalan mengatasi Nigeria 2-1 di Abidjan.

Lima daripada enam negara penganjur terakhir mara ke final dan berjaya menjuarai AFCON, namun penampilan Ivory Coast edisi kali ini kelihatan kurang memberangsangkan, kekalahan 4-0 dalam peringkat kumpulan kepada Equatorial Guinea hingga memaksa pasukan memecat ketua jurulatih, Jean-Louis Gasset.

Seperti diberi nafas baru, di bawah pimpinan pengendali sementara, Emerse Fae, yang digelar ‘The Zombies’, ketinggalan terlebih dahulu dalam aksi final apabila kapten Nigeria, William Troost-Ekong menanduk masuk jaringan pembukaan pada minit ke-38, namun tuan rumah berjaya kembali mengikat jaringan pada separuh masa kedua hasil gol Franck Kessie.


Ketika perlawanan berbaki kurang 10 minit, Haller, yang didiagnos pada Julai 2022 dengan kanser testis dan kembali beraksi bersama bersama Borussia Dortmund hanya setahun yang lalu, menemui sentuhan penyudah untuk menggamitkan suasana 60,000 penonton yang hadir di Stadium Alassane Ouattara.