BOLA SEPAK

AFCON: Gambia mahu calar maruah Cameroon

Shaiful Shamsudin 29/01/2022 | 05:04 MYT
Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) telah mencapai peringkat suku akhir dan perlawanan tengah malam ini menjanjikan sejarah baru untuk dilakar.
Tuan rumah, Cameroon, akan bertemu Gambia dalam perlawanan pertama -- pertembungan kedua berturut-turut dengan sebuah pasukan yang membuat kemunculan pertama kejohanan -- dan kali terakhir mereka laluinya adalah pada 1972.
Sejak akhir-akhir ini, tuah undian sering memihak Cameroon apabila berdepan pasukan mentah AFCON termasuk kemenangan 2-1 ke atas Comoros dalam pusingan awal kalah mati yang lalu, selain memenangi tiga perlawanan berturut-turut menentang lawan hampir serupa dalam enam perlawanan terakhir.
Gambia, yang mengejutkan Guinea dalam pusingan 16, menyasar untuk menjadi pasukan pertama yang mara ke separuh akhir AFCON dalam kemunculan sulung seperti yang pernah dilakar juara 1996, Afrika Selatan.
Mereka belum pernah kecundang dalam lapan perlawanan terakhir dan lolos dua daripada tiga peringkat suku akhir AFCON dengan yang terbaru pada 2017, mengatasi Senegal melalui penentuan sepakan penalti.
Kekalahan kepada Gambia -- negara terkecil di benua Afrika selain memiliki reputasi sebagai negara yang belum layak ke kejohanan besar -- pastinya akan menjadi salah satu kejutan terbesar dalam kejohanan ini.
Justeru, wira Gambia ketika menyingkirkan Guinea, Musa Barrow, percaya tekanan tertumpu kepada juara lima kali itu.
"Semua orang di tanah air kami gembira," katanya kepada AFP.
"Kami merupakan sebuah negara kecil. Kami meminati bola sepak. Ramai daripada kami mula belajar bermain di jalanan jadi untuk dapat bertanding dalam AFCON ini, mencapai ke tahap ini merupakan satu peningkatan yang pesat, ia akan mengangkat nama Gambia ke tahap yang lebih tinggi lagi.
"Kami tidak akan rugi apa-apa, tetapi mereka adalah wakil tuan rumah. Jika mereka kalah ia akan menjadi satu bencana besar buat mereka."
Sementara itu, Tunisia pula pastinya ingin menamatkan rekod buruk bertemu Burkina Faso baru-baru ini.
Di atas kertas, Tunisia mungkin menjadi pilihan -- jurang ranking dunia mereka adalah 30 anak tangga-- tetapi dalam dua pertemuan AFCON yang terakhir iaitu edisi 1998 dan 2017, keputusan ke suku akhir memihak Stallions.
Malah, Burkina Faso menempa tiga kejayaan di peringkat suku akhir saingan ini, satu rekod yang hanya mampu diatasi Mali (memenangi lima pertemuan suku akhir).
Tiada pasukan yang lebih kerap mara ke peringkat ini berbanding Tunisia yang 11 kali berpengalaman dalam suku akhir. Lantaran itu, ia akan yang menjadi badi buat pasukan kendalian Mondher Kebaier tersebut yang mengalami lima keperitan dalam enam percubaan lalu.
Walaupun kem mereka teruk dilanda kes COVID-19, mereka masih mampu membuatkan Nigeria gigit jari dalam pusingan 16 lalu, secara tidak langsung menjadi satu petanda bahawa mereka cekal menghadapi apa jua rintangan yang datang.
Dua lagi perlawanan suku akhir membabitkan Mesir dan Maghribi serta Senegal dan Equatorial Guinea.
#Piala Negara-negara Afrika #AFCON
;