ACLE
AFC serah kepada Jawatankuasa Disiplin teliti insiden baling botol babit aksi JDT-Buriram United
Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul, memaklumkan pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada Jawatankuasa Disiplin bagi meneliti insiden segelintir penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) membaling botol ke dalam padang.
Insiden itu berlaku ketika perlawanan kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) JDT dan Buriram United di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) baru-baru ini.
Tegasnya, badan induk bolasepak Asia itu memandang serius setiap insiden yang berlaku terutamanya membabitkan keselamatan pasukan serta pegawai perlawanan.
"Laporan perlawanan sudah berada di peringkat Jawatankuasa Disiplin dan mereka akan meneliti laporan yang dibuat kimisioner perlawanan dan pengadil.
"AFC selalu memandang serius mengenai kelakuan yang berlaku sepanjang perlawanan bagi memastikan integrity perlawanan dan pastikan semua pemain serta pengadil dapat menjalankan tugas dan beraksi dengan selamat. Kita biar laporan itu diteliti dan mereka akan membuat keputusan." katanya.
Dia turut mengesahkan slot kelab dari Malaysia yang akan beraksi di kejohanan peringkat Asia itu kekal seperti sebelum ini dengan kem Harimau Selatan akan beraksi dalam kempen ACLE, manakala Selangor di Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) musim depan.
"Untuk musim depan sama, iaitu di saingan ACLE dan ACLE2 mengikut ranking yang sudah ditetapkan." tambahnya.