ACLE

ACLE: Tiga import baru JDT mampu galas peranan utama

Shaiful Shamsudin 10/02/2025 | 11:35 MYT
Ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Hector Bidoglio, menagih sentuhan tiga import baru dari Sepanyol untuk perlawanan wajib menang ke atas Central Coast Mariners di tempat lawan ketika menyambung kempen Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), petang esok.
Pengendali kelahiran Argentina itu tetap percaya Alvaro Gonzales, Jonathan Viera dan Roque Mesa mampu memberi impak positif walaupun baru menyertai pasukan.
Ia akan menjadi kemunculan sulung buat ketiga-tiga pemain dari Sepanyol tersebut sekiranya diturunkan bertemu lawan dari Australia dalam aksi di New South Wales itu.
Malah, kehadiran mereka tepat pada waktunya setelah JDT kehilangan khidmat Murilo Henrique, Juan Muniz dan Park Hun-heong akibat penggantungan perlawanan.
Trio itu dijangka tidak berdepan masalah membentuk persefahaman dengan rakan sepasukan baru berdasarkan pengalaman luas di peringkat kelab dan antarabangsa.
"Mereka merupakan pemain yang sangat profesional, mereka amat memahami (tuntutan) JDT. Mereka boleh menonton rakaman perlawanan JDT.
"Saya kesuntukan masa untuk melatih mereka tapi adalah penting kami mengadakan perbincangan dan mengkaji permainan JDT daripada rakaman.
"Mereka sangat pintar berdasarkan pengalaman. Saya percaya mereka mampu membantu pasukan," katanya.
Skuad Harimau Selatan perlu menang ke atas Central Coast Mariners bagi mencerahkan peluang layak ke pusingan 16 ACLE.
Begitupun, anak buah Bidoglio tetap berdepan tugasan mencabar memandangkan lawan memiliki barisan ampuh menerusi pengalaman beraksi dalam Liga A Australia yang ditrakrifkan sebagai antara liga terbaik di Asia.
"Mereka sebuah pasukan mantap. Mereka banyak melakukan larian dan mempunyai ramai pemain muda.
"Semua pemain import mereka mampu menjelmakan kesukaran.
"Kami sedar ia sukar tapi kami perlu menang. Saya amat mengenali Central Coast Mariners tetapi saya lebih gemar untuk fokus kepada diri sendiri.
"Kami perlu beraksi lebih kompak, agresif dan dinamik.
"Kami perlu terus berkembang," katanya.
JDT kini menghuni tangga keenam selepas mengumpul lapan mata dan perlu menang bagi menjarakkan kedudukan dengan tiga lagi pencabar iaitu Pohang Steelers, Shanghai Port dan Buriram United.
#JDT #Liga-M #ACLE #Liga Juara-Juara Asia Elit
;