Skip to main content

Bola Sepak

ACLE: Pesona Silva lonjak kedudukan JDT

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

jonatan-silva.jpg
Johor Darul Ta'zim (JDT) memperoleh kemenangan kedua dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) apabila menewaskan kelab China, Shanghai Shenhua, 3-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebentar tadi.

Selepas menewaskan Chengdu Rongcheng di laman lawan itu pada hujung bulan lalu, Harimau Selatan mengekalkan rentak sama dengan Jonathan Silva muncul pemain paling cemerlang meledakkan dua gol dalam separuh masa kedua, yang mengapit satu lagi jaringan disumbangkan Oscar Arribas.

Sebaik terikat tanpa jaringan sepanjang 45 minit pertama, Silva hanya memerlukan tiga minit untuk memecahkan kebantuan dengan penyudah kaki kirinya selepas menerima lintangan licik Arif Aiman Hanapi.

Arribas kemudian menggandakan kelebihan itu pada minit ke-63 menerusi ledakan kaki kirinya dari luar kawasan penalti.

Bagaimanapun, Shanghai memberikan respons segera untuk merapatkan jurang itu dengan melakukan asakan pantas ke gawang Andoni Zubiaurre dan berhasil mendapatkan sepakan penalti selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati Natxo Insa mengasari Xu Haoyang, di mana Paulo Mineiro kemudian mudah menyudahkan tendangannya pada minit ke-71.

Kebimbangan JDT untuk mempertahankan kelebihan mereka berakhir lebih awal apabila Silva sekali lagi menemui sasaran pada minit ke-88, juga menerusi gandingan dengan Arif Aiman.

Dengan kemenangan itu, JDT melonjak ke tangga kedua Kumpulan A dengan tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu keputusan seri daripada empat perlawanan.
 

Advertisement

Must Watch Video