SHANGHAI PORT 2 JOHOR DARUL TA'ZIM 2

Johor Darul Ta'zim (JDT) meraih mata pertama dalam edisi perdana Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) apabila mengikat Shanghai Port 2-2 di Stadium Bolasepak Pudong sebentar tadi.

JDT dua kali berada di depan hasil gerakan solo pemain bintang, Arif Aiman Hanapi, tetapi gagal mengekang kebangkitan pasukan tuan rumah itu untuk menyamakan kedudukan.

Arif Aiman membuka jaringan pada minit terakhir babak pertama apabila melakukan gelecekan gemilang mengatasi tiga pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan dari luar kotak penalti ke arah penjuru bawah kiri gawang.

Bagaimanapun, kealpaan benteng pertahanan Harimau Selatan dihukum Shanghai pada tiga minit pertama babak kedua, di mana Gustavo Henrique memanfaatkan bola muntah yang gagal ditangkap kemas penjaga gol JDT, Andoni Zubiaurre, untuk menggegarkan jaring.

JDT kembali berada di depan pada minit ke-56, sekali lagi hasil jaringan solo Arif Aiman, hanya untuk kembali diikat Shanghai menerusi Willian Popp pada minit ke-73.

Dengan keputusan itu Harimau Selatan kini menduduki tangga kelima daripada 12 pasukan Liga Timur.

Mereka seterusnya akan bertemu satu lagi kelab China, Shanghai Shenhua, bagi aksi kedua di Iskandar Puteri pada 1 Oktober depan.