ACLE: JDT raih kemenangan pertama tumbangkan Shanghai Shenhua
Muzaffar Musa
Oktober 1, 2024 21:53 MYT
Oktober 1, 2024 21:53 MYT
JOHOR DARUL TA'ZIM 3 SHANGHAI SHENHUA 0
Johor Darul Ta'zim (JDT) mempamerkan dominasi dalam aksi kedua saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) Zon Timur apabila menumbangkan wakil China, Shanghai Shenhua, 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri sebentar tadi.
Beraksi di laman sendiri, bintang Harimau Selatan, Arif Aiman Hanapi, memecahkan kebuntuan pada minit ke-11 menerusi gerakan solonya dari sebelah kanan sebelum melepaskan penyudah rendah yang menewaskan penjaga gol lawan.
15 minit berselang, giliran pemain import, Jorge Obregon, menggandakan kelebihan tuan rumah dengan menanduk masuk lintangan gemilang Murilo.
Pakar sepakan percuma, Juan Muniz, kemudian melebarkan kelebihan Harimau Selatan pada minit ke-80 menerusi gerakan itu untuk memastikan kemenangan pertama tuan rumah.
Dengan kemenangan itu, JDT melonjak ke tangga kedua Liga Bahagian Timur dengan empat mata daripada dua perlawanan selepas terikat 2-2 dengan satu lagi kelab China, Shanghai Port, dalam aksi pertama di gelanggang lawan bulan lalu.
Mereka seterusnya akan bertandang ke laman kelab Korea Selatan, Gwangju FC, bagi aksi ketiga pada 22 Oktober ini.