Bintang terkemuka negara, Arif Aiman Hanapi, sudah mengumpul empat jaringan peribadi susulan menghadiahkan gol pertama buat skuad Harimau Selatan pada minit kelapan ketika bertemu Ulsan HD.
Jaringan itu hadir selepas pemain pertahanan juara Liga Korea, Kim Younggwon, melakukan kesilapan sekali gus memberikan peluang terhidang buat Arif Aiman untuk menghadiahkan kelebihan awal buat pasukan tuan rumah.
Anak buah Kim Pan-gon mempunyai peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada penghujung babak pertama tetapi Gustav Ludwington tidak berjaya menoktahkan dengan jaringan selepas dikawal rapi benteng Harimau Selatan untuk kedudukan separuh masa pertama kekal 1-0.
Juara K-League tumbang di tangan juara Liga Super, JDT 3-0 Ulsan HD. ?@ASTROARENA pic.twitter.com/Dpwh0zGqWM
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) November 5, 2024
Bekas jurulatih Harimau Malaya itu menuntut perubahan segera dipamerkan supaya memberi tekanan kepada skuad bimbingan Hector Bidoglio.
Amaran awal oleh pemain berjersi 27, Lee Chung Yong, disusuli percubaan Yun Illok yang terkena tiang pada awal separuh masa kedua hampir mengucar-kacirkan pertahanan JDT.
Nasib buruk menimpa penjaga gol kebangsaan Korea Selatan, Jo Hyeonwoo, apabila lemas dengan sepakan kaki kiri Oscar Arribas yang terkena biasan pertahan Ulsan HD untuk kelebihan 2-0 pada minit ke-67.
Derita semakin menghimpit juara liga Korea Selatan itu selepas kemasukan Bergson Da Silva yang menggantikan Jorge Obregon menghadirkan gol ketiga kepada juara Piala FA 2024 itu.
Tamat permainan, JDT berada di kedudukan tiga terbaik sambil berkongsi mata bersama Shanghai Shenghua dalam pentas tertinggi Asia itu.
Sementara itu, malang terus berlaku buat Ulsan HD yang masih gagal membutirkan sebarang kemenangan dan menghuni tangga tercorot Kumpulan A.