ACLE: Ini pertembungan pasukan terbaik Malaysia, Thailand -- Jordi Amat
Muzaffar Musa
Disember 2, 2024 14:50 MYT
Disember 2, 2024 14:50 MYT
Kapten Johor Daru Ta'zim (JDT), Jordi Amat, menganggap aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menentang pasukan gergasi Thailand, Buriram United, di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri malam esok sebagai pertembungan kelab terbaik kedua-dua negara.
JDT berdepan kekalahan kedua dalam ACLE musim ini apabila tewas 0-1 di laman Shandong Taishan hujung minggu lalu, sekali gus menjadikan aksi menentang Buriram kali ini sebagai misi wajib menang bagi mencerahkan peluang mereka ke pusingan 16.
Jordi sedar akan cabaran besar yang bakal dihadapi Harimau Selatan dalam pertemuan kali ini memadangkan Thunder Castle ketika ini merupakan pasukan terbaik Thailand dan dijangka akan mengekalkan takhta Thai League 1 musim ini.
"Ia merupakan perlawanan yang amat-amat penting buat kami memandangkan kedua-dua pasukan sudah mengumpulkan tujuh mata dan ia merupakan pertembungan pasukan terbaik Malaysia dan Thailand.
"Ia akan menjadi perlawanan besar dan kami tidak sabar untuk beraksi di laman sendiri.
"Jadi, esok kami mahu menang, kami mahu mendapatkan tiga mata.
"Kami memiliki kelebihan yang baik, kami beraksi di laman sendiri di depan penyokong kami.
"Semua kami sedang menuju ke arah keputusan sama, jadi harap-harap kami akan mendapatkan tiga mata esok," katanya dalam sidang media.