Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak rela terperangkap lagi apabila ketua jurulatihnya, Hector Bidoglio, mengakui telah mengadakan sesi latihan khas bagi menangani ancaman dari udara yang mampu dihadirkan Shanghai Shenhua.
Jaguh Liga Super itu bakal menyambut kunjungan kelab China berkenaan bersempena pertemuan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.
"Kami perlu fokus dan serlah potensi diri di tempat sendiri.
"Bola pegun cukup penting dan ia boleh membantu kami memenangi banyak perlawanan.
"Kami sedar pemain pasukan lawan mempunyai ketinggian dan bagus dalam soal perebutan bola di udara.
"Kami membuat persediaan mengenainya dan saya menaruh kepercayaan terhadap anak buah.
"Shanghai sebuah pasukan yang gemar menguasai perlawanan dan mereka gemar membuat larian ke bahagian pertahanan.
"Saya belum ada bayangan kesebelasan utama yang bakal diturunkan dan akan buat keputusannya hari ini," katanya dalam sidang media sebentar tadi.
Dalam masa sama, kapten merangkap pertahanan JDT, Jordi Amat, turut senada bahawa mereka tidak meremehkan ancaman Shanghai.
"Kami perlu kental di bahagian pertahanan. Kami perlu tangani pasukan yang gemar kuasai bola, serang dengan teknikal. Kami sudah bersedia berjuang.
"Kami perlu fokus, kompak dan paling penting adalah bola kedua. Ia membolehkan kami mencipta peluang serangan. Dua hari terakhir kami banyak soal ini," katanya pula.
Bidoglio juga masih berahsia dengan perlawanan kedua selepas mereka terikat 2-2 dengan Shanghai Port, dua minggu lalu.
"Bergson seorang pemain handalan dan kami ramai pemain hebat dalam skuad ini.
"Kami perlu beraksi secara berpasukan. Heberty, Nazmi (Faiz Mansor) Arif (Aiman Hanapi) memiliki kebolehan individu tetapi mereka perlu beraksi sebagai berpasukan dan saya perlu mencaturkan kesebelasan terbaik pada hari ini," katanya lagi.
Shaiful Shamsudin
Mon Sep 30 2024