ACLE: Arif Aiman terima saingan sengit kedudukan penjaring terbanyak
Afiq Azfar
Oktober 1, 2024 07:27 MYT
Oktober 1, 2024 07:27 MYT
Pemain Johor Darul Ta'zim, Arif Aiman semakin mempamerkan bisa beliau dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACL Elite) menentang Shanghai Shenhua, malam tadi.
Gol pembukaan JDT hadir menerusi rembatan kencang kaki kiri beliau yang mudah menewaskan penjaga gol Shanghai Shenhua, yang menyaksikan JDT mudah membenam cabaran Shanghai Shenhua 3-0.
Setelah mengharungi dua aksi pertama ACL Elite, Arif Aiman memastikan namanya terpahat dalam senarai penjaring terbanyak kejohanan tersebut dengan mengumpul 3 jaringan setakat ini.
Ini menyaksikan beliau kini berada di tangga kedua penjaring terbanyak selepas Jasir Asani yang mewakili kelab Gwangju FC dengan 4 jaringan terkumpul.
Jasir Asani menjaringkan hatrik dalam pertemuan menentang Yokohama FM sebelum jaringan tunggal beliau mengesahkan kemenangan Gwangju FC ke atas Kawasaki Frontale.
Kedudukan ini pastinya memberikan motivasi tambahan kepada Arif Aiman dan semua pemain JDT untuk mengharungi pertembungan seterusnya menentang Gwangju FC, yang kini menduduki carta teratas kumpulan setelah mencatat kemenangan 1-0 menentang Kawasaki Frontale, semalam.
JDT akan meneruskan cabaran di pentas Asia berdepan Gwangju FC pada 22 Oktober 2024 bagi aksi ketiga Liga Juara-Juara Asia Elit.