"Lebih berdisiplin dan fokus", seruan itu menjadi penekanan pemangku jurulatih Selangor, Abdi Hassan, merujuk kepada jaringan tunggal Jeonbuk Hyundai Motors yang menjadi gol tunggal pertemuan semalam.
Sebaik wisel permulaan di Stadium Piala Dunia Jeonju ditiupkan, tuan rumah ternyata menguasai permainan dan ia dibuktikan pada minit ke-22 menerusi jaringan milik Tiago Orobo hasil sepakan penjuru Kwon Chang-hoon.
Kekalahan itu secara tidak langsung mencalar reputasi Selangor yang memegang rekod tanpa kalah di kumpulan Liga Juara-Juara (ACL) 2 musim ini.
Bagaimanapun, Selangor masih berpeluang layak ke pusingan 16 apabila kekal di tempat kedua Kumpulan H dengan baki dua perlawanan.
Jeonbuk pula di puncak dengan perbezaan dua mata sahaja, manakala Cebu FC sudah pun tersingkir selepas gagal mencatat sebarang kemenangan dalam empat perlawanan.
"Malangnya kami kalah. Kami mengharungi satu perlawanan yang sukar pada malam ini, lebih-lebih lagi berdasarkan corak permainan pihak lawan dalam set pertama.
"Di tahap ini, kami perlu 100 peratus fokus. Dibolosi menerusi bola pegun yang setiap pemain lawan diawasi.
"Kami perlu lebih berdisiplin. Kami kemudian mencipta beberapa peluang menarik dalam babak pertama.
"Kami terlepas untuk mengikat permainan melalui Ronnie Fernandez.
"Apa pun, ini satu kemenangan yang berhak Jeonbok perolehi atas permainan menarik yang dipertonjolkan," katanya selepas perlawanan.
Shaiful Shamsudin
Fri Nov 08 2024