Juara bertahan Liga Juara-Juara Asia (ACL), Urawa Red Diamonds, tersingkir seawal peringkat kumpulan selepas tewas 1-2 kepada kelab Vietnam, Hanoi FC, dalam perlawanan terakhir Kumpulan J di Stadium Nasional My Dinh malam tadi.

Urawa, yang membelasah Johor Darul Ta'zim (JDT) 5-0 dalam pusingan 16 sebelum menjuarai edisi lalu, gagal meneruskan kemaraan ke pusingan kalah mati selepas hanya mengumpulkan tujuh mata daripada enam perlawanan.

Ia menyaksikan kelab Jepun itu gagal menempatkan diri selaku tiga pasukan naib juara kumpulan terbaik selepas mustahil untuk mereka mengejar kedudukan juara Kumpulan J, Pohang Steelers (16 mata).

Bahkan, tujuh mata yang dikumpulkan itu juga terlalu jauh untuk mengejar tiga slot naib juara terbaik memandangkan tiga kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai, Incheon United dan Jeonbuk Hyundai Motors, sudah pun mengumpulkan sembilan mata biarpun masih memiliki satu perlawanan dalam tangan.

Aksi di My Dinh menyaksikan tuan rumah terlebih dahulu mencipta kejutan apabila Van Nam Dao membuka jaringan pada minit ke-53 sebelum Bryen Linssen kembali mengikat kedudukan buat Urawa pada minit ke-65.

Bagaimanapun, sisa perjuangan juara bertahan itu musnah selepas Pham Tuan Hai menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-87.