Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora, berkeyakinan terhadap barisan pasukannya dalam kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) esok sungguhpun mengetepikan beberapa tunjang utama dan berdepan kekangan persiapan secara berpasukan.
Juara Piala AFC 2015 itu dijadual membuka kempen Kumpulan G menentang wakil Jepun, Nagoya Grampus, di Stadium Rajamangala, Thailand, malam esok.
Harimau Selatan kesuntukan masa untuk membuat percaturan lebih rapi apabila 13 pemain yang mengharungi pusingan kedua, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, minggu lalu, menanti rombongan JDT yang selebihnya di Bangkok.
Malah, pemain kelahiran Argentina, Gonzalo Cabrera, tidak tersenarai atas faktor taktikal selain Shahrul Saad kerana kecergasan.
"Mereka saling memahami antara satu sama lain terutama cara bermain dan tahu rentak permainan masing-masing.
"Jadi tidak timbul masalah apabila mereka tidak berlatih hampir sebulan bersama JDT," katanya dalam sidang media hari ini.
Mora, bagaimanapun, tidak berselindung pertembungan awal dengan kelab yang kini berada di tangga kedua Liga Satu Jepun (J1 League) itu adalah satu cabaran getir sambil berikrar sedia menjelmakan tentangan sengit dalam misi mengejutkan lawan.
"Lawan tampak serba lengkap selain dibimbing jurulatih berpengalaman dari Itali (Massimo Ficcadenti) dan mereka mengamalkan corak permainan pantas dan ia satu perlawanan yang menarik dan JDT akan menerapkan falsafah permainan tersendiri.
"Kami perlu awasi kelicikan pemain nombor 10 (Gabriel Xavier); nombor 11 (Yuki Soma), nombor 16 (Matues) dan nombor 9 (Ryogo Yamasaki) kerana mereka pemain berbahaya dan beraksi dengan tersusun," katanya sambil mengakui keampuhan benteng lawan.
Shaiful Shamsudin
Mon Jun 21 2021