Jaringan tunggal Marcinho cukup untuk memastikan tiga mata penuh buat Kawasaki Frontale yang berjaya mengatasi Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.
Pertembungan pertama Kumpulan I menyaksikan JDT menerima kunjungan Kawasaki Frontale, lawan yang sama daripada saingan ACL musim lalu.
JDT memasuki perlawanan ini menerusi rentak cemerlang dalam saingan domestik, memenangi empat daripada lima perlawanan terdahulu sementara Kawasaki Frontale melewati dua kemenangan, dua seri dan satu kekalahan.
Tidak bocor dengan lebih daripada satu jaringan mampu membangkitkan motivasi buat JDT dalam pertembungan dengan pasukan sehebat Kawasaki Frontale.
Pengendali pasukan, Esteban Solari, menurunkan barisan terbaiknya dalam misi untuk sekurang-kurangnya tidak dirobek ganas kelab yang berpangkalan di Jepun itu.
Arif Aiman Md Hanapi, Herberty dan juga Bergson da Silva membentuk barisan depan sambil Afiq Fazail diberikan tugas untuk memastikan jentera tengah berfungsi.
Selepas diuji menerusi dua percubaan awal Kawasaki, Bergson mula mengorak gerakan menguji penjaga gol, Jung Sung-ryong, pada minit ke-16.
Disusuli percubaan herberty pada minit ke-20 dan juga percubaan menarik bergson pada minit ke-31.
Bagaimanapun, Kawasaki Frontale berjaya membuka jaringan bangkit menerusi gol pembukaan seminit sebelum separuh masa pertama tamat, sepakan gunting Marcinho ternyata membuat barisan pertahanan JDT tergamam melihat bola menembusi gawang.
JDT berusaha mengasak kubu pertahanan lawan sepanjang separuh masa kedua, namun ia tidak membuahkan sebarang hasil sehingga tamat perlawanan yang berkesudahan 1-0 memihak pelawat.
JDT kembali beraksi Sabtu ini bertemu Negeri Sembilan dalam aksi suku akhir Piala Malaysia sebelum meneruskan saingan ACL bertemu wakil Thailand, BG Pathum United pada 3 Oktober.
Ammar Hakim
Tue Sep 19 2023
