Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

ACL: Hatrik Bergson pacu permulaan bergaya JDT

bergson.jpg
JDT 5 GUANGZHOU 0

Sejak wisel penamat pertama perlawanan lagi, Johor Darul Ta'zim (JDT) bagaikan memperlakukan Guangzhou Evergrande sebagai medan terbaik untuk memanaskan badan bagi mengharungi Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini.


Bakal berdepan ujian sebenar berdepan wakil Korea Selatan, Ulsan Hyundai, Isnin depan, Harimau Selatan mencatat 5-0 untuk membuka langkah kanan dalam Kumpulan I sebentar tadi. 

Faktor menurunkan barisan muda juga menyebabkan juara dua kali dari China itu tersungkur yang menyaksikan penyerang JDT, Bergson Da Silva, meledak hatrik di Stadium Sultan Ibrahim dengan 82 peratus penguasaan bola. 

Barisan kendalian Benjamin Mora itu yang dari awal mengasak kubu lawan hanya memerlukan 10 minit untuk membuka jaringan melalui tandukan Bergson yang bijak mencari ruang bagi menyambut tendangan silang pertahanan tengah, Shane Lowry. 




Tiga minit selepas itu, kesilapan penjaga gol Guangzhou, He Lipan, tertampan bola ke gawang sendiri ketika cuba mematahkan rembatan Fernando Forestieri menjadikan kedudukan 2-0. 

Bergson kemudian menutup separuh masa pertama dengan jaringan ketiga perlawanan menerusi rembatan pada minit ke-27.

Perlawanan makin berat sebelah apabila peluang Guangzhou tertutup rapat dalam babak seterusnya selepas percubaan tepat mereka ke arah Haziq Nadzli -- menjadi taruhan di muka gawang jaguh Liga Super itu berikutan kecederaan yang dialami Farizal Marlias -- berlaku dari jarak jauh pada awal permainan. 

Ketajaman tandukan Bergson menjadi taruhan buat sekian kalinya untuk dia melengkapkan hatriknya pada minit ke-52. 

Malah, penggempur dari Brazil itu menjadi watak yang membawa kepada kad merah Guan Haojian apabila kepalanya disepak ketika masing-masing terbaring berebutkan bola pada minit ke-70. 

Pemain gantian, Ramadhan Saifullah Usman, memastikan tuan rumah terus mencengkam dengan gol kelima menarik perlawanan pada minit ke-81, malah JDT tidak berhenti menyerang termasuk sepanjang masa kecederaan.

Sementara itu, Kawasaki Frontale terikat 1-1 dengan Ulsan pada sebelah petang. 

 

Advertisement

Must Watch Video