ABK21: Arif Aiman dinobat pemenang Anugerah MVP
Muzaffar Musa
Disember 4, 2021 22:26 MYT
Disember 4, 2021 22:26 MYT
Bintang muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi, melengkapkan musim gemilangnya apabila dinobatkan selaku Pemain Paling Bernilai (MVP) dalam majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021 (ABK21) yang diadakan secara virtual sebentar tadi.
Paling menarik, pemain berusia 19 tahun itu melakar sejarah menjadi pemain paling muda merangkul anugerah utama itu selepas rakan sepasukannya, Safawi Rasid, melakukannya pada 2018 ketika usia 21 tahun.
Dia menerima Anugerah MVP selepas diumumkan oleh Presiden Malaysian Football League (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan.
Arif, yang menjadi antara watak penting JDT menjulang trofi kelapan Liga Super musim ini selain Piala Sumbangsih dan membantu kelab Harimau Selatan itu mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2021 sebelum tewas kepada Kuala Lumpur City FC 2-0, turut mengungguli Anugerah Penyerang Terbaik dan Anugerah Pemain Muda Terbaik.
Arif, yang merupakan pemain lincah menghasilkan tiga gol dan tiga bantuan dalam 31 penampilan musim ini, berkata kejayaan yang dikecapi itu tidak akan dicapai tanpa sokongan pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, serta rakan sepasukan.
“Alhamdulillah saya dinobatkan sebagai pemenang MVP pada tahun ini dan anugerah ini kali pertama saya menang dalam karier sebagai pemain bola sepak profesional. Terima kasih saya ucapkan kepada TMJ kerana sentiasa menjadi tulang belakang dan juga kepada jurulatih, Benjamin Mora, dan barisan kejurulatihan yang lain kerana sentiasa memberi sokongan dan percaya kepada saya untuk bermain banyak perlawanan pada tahun ini.
“Terima kasih juga kepada rakan sepasukan dan pemain-pemain senior lain yang sentiasa bantu saya ketika saya mula-mula masuk ke dalam pasukan JDT dan tidak dilupa juga kepada semua penyokong saya,” katanya, yang kini bersama skuad Harimau Malaya bagi mengharungi kempen Piala AFF 2020 di Singapura.
Bagi kategori Anugerah Penyerang Terbaik, Arif menafikan cabaran dua lagi calon akhir, Darren Lok (Petaling Jaya City FC) dan Faisal Abdul Halim (Terengganu FC), manakala bagi kategori Anugerah Pemain Muda Terbaik pula, dia mengatasi dua calon dari Selangor FC, iaitu Ahmad Danial Ahmad Asri dan Mukhairi Ajmal Mahadi.
Bagaimanapun, Arif tidak keseorangan membawa pulang trofi ABK21 ke kem JDT apabila Matthew Davies meraih gelaran Pertahanan Terbaik buat kali kedua selepas 2017 dengan menewaskan Quentin Cheng (Penang FC) dan Daniel Ting (Kuala Lumpur City FC).
Penjaga gol JDT, Farizal Marlias, pula mengatasi pencalonan pemain PJ City FC, Kalamullah Al-Hafiz, dan Khairul Fahmi Che Mat (Melaka United FC) untuk merekod gelaran Penjaga Gol Terbaik buat kali keenam selepas 2009, 2015, 2018, 2019 dan 2020.
Selain kejayaan penyerang dari Brazil, Bergson da Silva, meraih Kasut Emas menerusi ledakan 30 gol dalam semua pertandingan musim ini, kelab Harimau Selatan itu turut gah dengan gelaran Pasukan Terbaik.
KL City FC pula, yang mencipta kejutan menjuara Piala Malaysia sempena ulang tahun ke-100 kejohanan itu, turut cemerlang di pentas ABK21 apabila Bojan Hodak menerima Anugerah Jurulatih Terbaik dengan mengatasi pencabarnya, Benjamin Mora (JDT) dan Nafuzi Zain (Terengganu FC).
Turut mengiringi kejayaan jurulatih kelahiran Croatia itu adalah penjaring terbanyak Piala Malaysia 2021 dengan 10 gol, Romel Morales, apabila diiktiraf sebagai Pemain Import Terbaik biarpun dicabar hebat Bergson dan Ifedayo Olusegun (Selangor FC).
Sementara itu, kapten Kedah Darul Aman FC, Baddrol Bakhtiar, yang mengumumkan perpindahannya ke Sabah FC musim depan, meraih kejayaan berganda apabila membawa pulang trofi Pemain Tengah Terbaik dan Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super menerusi jaringan tujuh gol. Bagi kategori Pemain Tengah Terbaik, Baddrol mengetepikan cabaran dua pemain JDT, Afiq Fazail dan Natxo Insa.
Sementara itu, Skuad Projek FAM-MSN, yang membuat penampilan pertama dalam saingan Liga Perdana musim ini, diumumkan sebagai pemenang Anugerah Fair Play.
Turut diumumkan adalah kejayaan penyerang Selangor FC, Ifedayo Omosuyi, yang mencipta sejarah sebagai penjaring terbanyak Liga Super 2021 dengan mengumpul 26 gol -- rekod baru gol terbanyak dalam satu musim di pentas Liga Super.
Selain itu, Fernando Rodriguez (JDT II) dan Jordan Mintah (Terengganu FC II), yang masing-masing menghasilkan 16 gol, dinobatkan selaku Penjaring Terbanyak Liga Perdana 2021. Penyerang Kelantan FC, Nurshamil Abd Ghani, pula meraih gelaran Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Perdana 2021 dengan rekod sembilan gol.
Sumber: MFL
#bola sepak
#Liga Super Malaysia
#Liga Perdana Malaysia
#Piala Malaysia
#Arif Aiman Hanapi
#Anugerah Bolasepak Kebangsaan