4-3-3 atau 4-2-3-1 penentu nasib Kedah?

Hasnizam Uzir
April 8, 2023 14:48 MYT
Setelah mengharungi perjalanan yang agak sukar pada permulaan Liga Super musim ini, pengendali Kedah iaitu Nafuzi Zain kini boleh menarik nafas lega apabila anak-anak didiknya telah berjaya meletakan pasukan Hijau Kuning itu berada di tangga kedua liga.
Ini sudah pasti akan memberi satu keyakinan kepadanya untuk merancang strategi dan taktikal yang boleh mencipta kemenangan ke atas Johor Darul Ta’zim esok di Stadium Sultan Ibrahim sebagaimana yang pernah dicipta Nafuzi bersama Terengganu pada musim 2021.
Selaku bekas juara Liga Super tiga kali, sudah pasti pasukan kejurulatihan Hijau Kuning akan mencari formula untuk merencanakan formasi terbaik, sama ada menggunakan formasi 4-3-3 atau 4-2-3-1 untuk mengekang jentera serangan Harimau Selatan.
Pada ketika ini penyerang-penyerang Harimau Selatan begitu ghairah untuk merobek pintu gol lawan. Dengan 30 jaringan dikumpulkan dalam tujuh perlawanan, sudah tentu akan menguji sejauh mana kekuatan mental dan disiplin pemain Hijau Kuning di atas padang.
Jika Nafuzi bermain 4-2-3-1 di Stadium Sultan Ismail nanti, ia menampakkan kesimbangan di bahagian tengah bagi menyekat pergerakkan pemain-pemain JDT kerana apabila bertahan secara automatiknya akan menjadi formasi 5-4-1.
Jika menggunakan 4-3-3 pula, pasti akan memberi sedikit tekanan kepada pemain-pemain Kedah kerana ia akan memberi banyak ruang untuk pemain-pemain Harimau Selatan melakukan hantaran-hantaran di celah-celah pemain kerana Esteban Solari gemar menggunakan formasi 4-2-3-1.
Ini tugas yang amat berat untuk pemain-pemain midfield Kedah terutama Lee Tuck dan Manny Ott, di mana mereka perlu bijak dalam mengawal permainan serta memimpin rakan-rakan sepasukannya.
Apabila perkara ini dapat dilakukan dengan baik ia pasti akan memberi kelebihan kepada Hijau Kuning kerana pemain-pemainnya juga mempunyai keupayaan teknikal yang baik.
Atas faktor susunan formasi yang akan digunakan Nafuzi Zain itu nanti yang akan menentukan perlawanan itu akan disajikan dengan aksi-aksi menyerang atau pun bertahan.
Namun jika diperhatikan daripada falsafah yang diterapkan pengendali dari Kelantan itu ketika membimbing Terengganu memang gemar bermain secara terbuka dan menyerang sebagaimana kejayaan-kejayaan lepas dan sudah tentu juga atas faktor Solari dan pasukan kejurulatihannya akan membuat analisa tentang kelebihan dan kelemahan Hijau Kuning.
Apakah Nafuzi mampu mengulangi pencapaiannya menewaskan JDT di Stadium Sultan Ibrahim berulang?, sama-sama kita saksikan keputusannya esok.
#bola sepak #Liga Super Malaysia #Johor Darul Ta'zim FC #Kedah Darul Aman FC #Rencana
;