Tajuk yang indah dibaca oleh "haters" jagoan tenis Amerika Syarikat ini, begitu juga para pencabar yang mengintai peluang merampas kejuaraan yang sudah dua tahun berada di dalam genggaman bakal ibu yang akan menimang cahaya mata September nanti.
Namun hati-hati, ketika usia kandungannya mencecah tujuh bulan, Serena enggan menggantung raket dan masih menghabiskan masa di gelanggang, melakukan latihan ringan yang sekurang-kurangnya mampu membantu mengekalkan staminanya apabila kembali beraksi nanti.
Mungkin ada yang merasai kehangatan kejohanan yang sudah berusia 140 tahun, Wimbledon, yang menawarkan gelaran Grand Slam ketiga musim ini, sedikit malap tanpa Serena. Bagaimanapun pemain dengan tujuh kejuaraan di London, England ini tetap merasakan debarannya, walaupun sekadar memantau saingan dari jauh, sejak menjuarai Terbuka Australia Januari lalu.
Antara yang mencuri tumpuan setakat ini, pemain kurang ternama dari Slovakia, Magdalena Rybarikova, yang baru pulih daripada kecederaan tetapi mampu menewaskan Karolina Pliskova, sekaligus beri penamat kepada rekod 15 kemenangan daripada 16 aksi gelanggang rumput Pliskova musim ini.
Apa yang menarik, Rybarikova membuat lawan dari Republik Czech itu terpaksa mengharap belas daripada Simona Halep untuk tidak melangkah ke separuh akhir atau Angelique Kerber tersingkir sebelum final, bagi melunas cita-cita Pliskova yang mahu menguasai carta pemain terbaik dunia sementara Serena masih berehat.
Seorang lagi pemain yang perlu dipantau, Ana Konjuh, yang nampaknya menjadi pemain termuda yang masih kekal di saingan ini. Semuanya dilakukan pemain berusia 19 tahun ini dengan menyingkirkan pilihan kelapan kejohanan, Dominika Cibulkova.
Jika memandu dari Kuala Lumpur, anda mungkin sudah sampai ke Melaka tetapi dalam sudut komitmen, itulah kesungguhan yang dipamerkan gadis "sado" dari Croatia ini. Namun apakah kesungguhan sahaja cukup untuk dia terus rekod sejarah di Wimbledon?
Ironinya, halangan Ana selepas ini adalah pemain tertua kejohanan, Venus Williams yang pastinya mahu menggunakan kesempatan tanpa kehadiran adiknya untuk menambah koleksi kejuaraan disini dengan mencipta kejuaraan keenam dan jelas sekali, Wimbledon memang ada tempat istimewa dalam hati adik-beradik Williams ini.
Suzana Basri
Sun Jul 09 2017