Novak Djokovic kelihatan bersedia untuk membuat kemunculan dalam Terbuka Amerika Syarikat (AS) 2023 selepas Dewan Senat AS meluluskan rang undang-undang untuk menamatkan sekatan COVID-19.

Juara grand slam 22 kali itu kali terakhir beraksi dalam kejohanan itu adalah dua tahun lalu yang menyaksikannya tewas kepada Daniil Medvedev 4-6, 4-6, 4-6 dalam penentuan gelaran.

Dia terlepas edisi 2022 berikutan keengganannya menerima suntikan vaksin bagi pandemik itu dengan AS menjadikannya sebagai kewajiban buat pelancong antarabangsa yang tiba di negara tersebut mulai 8 November 2021.

Djokovic turut dilarang daripada menyertai Terbuka Australia 2022 apabila diusir dari negara itu selepas pegawai imigresen membatalkan visanya berikutan status warga Serbia tersebut yang tidak divaksin.

Dia kembali ke Melbourne Park pada awal tahun ini dan memenangi gelaran Terbuka Australia Ke-10, lantas sudah pasti mengharapkan impak yang sama di Flushing Meadows.

Senat AS malam tadi mengundi untuk menyokong menamatkan darurat COVID-19 peringkat nasional yang diisytiharkan pada Mac 2020, ini bermakna rang undang-undang itu bakal dipertimbangkan dan dipersetujui Presiden, Joe Biden.

Oleh itu, Djokovic mengandaikan dia tidak disisihkan atas sebab lain dan dibenarkan bertanding dalam edisi tahun ini yang dijadualkan bermula pada 28 Ogos.

Berita itu pastinya akan menjadi dorongan besar terhadap Djokovic yang telah pun dihalang daripada menyertai kejohanan yang berpangkalan di AS pada 2023.

Pemain berusia 35 tahun itu disekat daripada memasuki AS pada awal bulan ini menjelang Indian Wells dan Terbuka Miami dengan permohonannya untuk mendapatkan kebenaran khas ditolak oleh kerajaan.