Selaku penyerang, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, menggalas tugas berat dalam penampilan sulung bersama Universiti Kuala Lumpur (UniKL) apabila berdepan Terengganu Hockey Team (THT) tanpa kekuatan penuh pemain import.

UniKL, yang merupakan juara bertahan Liga Hoki Malaysia (LHM), bakal berentap dengan THT yang merupakan juara Piala TNB 2019 dalam aksi pembuka tirai itu di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil esok, dengan pemenang perlawanan akan meraih tiga mata yang turut dikira dalam kedudukan carta LHM.

Tengku Ahmad Tajuddin, selaku penyerang utama pasukan, mengakui harus memikul tugas berat untuk memastikan pasukannya merakamkan kemenangan sulung.

"UniKL tanpa barisan pemain import yang tidak sempat menyertai perlawanan esok dan kami harus menghadapi situasi esok dan berusaha mencipta kemenangan," katanya.

"Saya percaya dengan komitmen penuh yang diberikan oleh keseluruhan pasukan, tidak mustahil untuk mengatasi THT.

"UniKL merupakan sebuah pasukan yang sedang meningkat naik dan mempamerkan peningkatan tahun demi tahun. Ia merupakan sesuatu yang menarik perhatian saya untuk bersama pasukan ini."




Editor: Ammar Hakim