Sukan Universiti Dunia: Malaysia pahat sejarah di Chengdu

Sinar Harian
Ogos 8, 2023 21:59 MYT
Temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2023 melabuhkan tirai di Chengdu, China semalam.
China sekali lagi membuktikan kepada dunia bahawa mereka sememangnya tuan rumah yang paling hebat dalam sejarah dengan mengangkat Universiade Chengdu ini benar-benar bertaraf Sukan Olimpik Universiti Dunia.
China muncul juara keseluruhan hingga tidak terkejar oleh negara lain setelah mengumpul 103 pingat emas, diikuti Jepun dengan 21 emas dan Korea Selatan ketiga dengan 17 emas.
Prestasi para atlet negara juga tidak menghampakan apabila mereka melakar sejarah tersendiri apabila memecah kebuntuan untuk meraih pingat emas pertama sejak penganjuran Universiade 38 tahun lalu tertunai.
Atlet wushu, Tammy Tan Hui Ling merangkul emas menerusi acara qiangshu wanita di Gymnasium Chengbei pada 31 Julai.
Secara keseluruhan kontinjen Malaysia mengumpul masing-masing satu emas dan perak serta lima gangsa melepasi sasaran tiga pingat yang dirasakan sukar untuk digapai.
Kejayaan Tammy itu bagaikan satu tonik ajaib yang membangkitkan semangat juang rakan atlet lain untuk wushu yang menambah tiga lagi pingat gangsa menerusi Mandy Cebelle Chen (tajiquan wanita), Calvin Lee Wai Leong (nangun lelaki) dan Ang Qi Yue (daoshu lelaki).
Edisi kali ini bagaikan tahun paling gemilang buat kontinjen Malaysia di Universiade menerusi tambahan pingat daripada dua penerjun muda negara, Kimberly Bong Qian Ping dan Ong Ker Ying.
Bagaikan gandingan ‘bidan terjun' yang baru dipupuk selama dua minggu sebelum ke Chengdu, penerjun negara itu berjaya meraih pingat perak dalam acara 3 meter (m) papan anjal seirama wanita.
Kem badminton yang cemerlang ketika di Universiade Taiwan 2017 dengan satu perak dan tiga gangsa tidak mahu pulang tangan kosong.
Berdepan pelbagai kesukaran dan kecederaan pemain, skuad badminton menyumbang dua pingat gangsa untuk Malaysia menerusi acara berpasukan campuran dan beregu lelaki.
Kontinjen Malaysia di Universiade Chengdu turut melakar beberapa kejayaan lain.
Perenang muda, Bryan Leong Xin Ren memadamkan rekod kebangsaan berusia 14 tahun milik Daniel Bego dalam acara 50m kuak kupu-kupu dengan masa 24.35 saat (s).
Pelari sensasi 400m negara, Umar Osman mencatat sejarah memadamkan rekod kebangsaan miliknya yang dilakukannya pada Sukan SEA Kemboja Mei lalu iaitu 46.34s.
Di Chengdu dia memadamkan rekod sebanyak dua kali dalam tempoh 24 jam dengan masa 46.33s serta 46.09s dan layak beraksi di akhir.
Kuartet 4 x 400 (m) lelaki dan wanita juga mencatat sejarah buat kali pertama layak beraksi dalam perlumbaan akhir acara tersebut sekalipun gagal menyumbang sebarang pingat.
Begitu juga Grace Wong dalam acara lontar tukul besi dan Queenie Ting dalam acara lempar cakera turut melakar sejarah layak beraksi di final.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kontinjen Universiade Malaysia, Datuk Dr. Pekan Ramli berharap pemegang taruh memandang serius penyertaan atlet negara pada Universiade akan datang.
“Kita sudah cipta sejarah tamatkan kemarau 38 tahun untuk dapat pingat emas pertama Universiade. Ini temasya sukan Olimpik Universiti yang ‘levelnya’ sangat tinggi.
"Perit untuk dapat pingat di sini. Saya harap ini buka mata Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk benarkan atlet-atlet terbaik, bukan atlet ‘tier dua’ yang boleh kita bawa ke Universiade pada masa akan datang,” katanya.-Sinar Harian
#Malaysia #Renang #Sukan Universiti Dunia