Nasib tidak menyebelahi skuad berbasikal negara apabila insiden kemalangan menyebabkan Malaysia terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dalam acara lebuh raya berpasukan wanita Sukan SEA Hanoi, hari ini.

Pelumba negara, Jupha Somnet, terbabit dalam satu insiden ketika 500 meter menuju garisan penamat dalam perlumbaan yang terpaksa dipendekkan kepada 88.5km itu akibat hujan lebat.

Skuad negara yang turut dibarisi Nur Aishah Zubir, Siti Nur Adibah Akmal, Nor Aisyah Munirah dan Zhen Yi Yeong hanya ketinggalan empat saat di belakang tuan rumah Vietnam.

Pemenang diambil daripada empat pelumba yang mencatat masa terpantas daripada lima pelumba yang didaftar bagi acara berpasukan ini.

Sementara itu, catatan masa yang dilakukan Nur Aishah membolehkannya muncul naib juara acara individu sekali gus menambah koleksi pingat kempen di Vietnam selepas turut memungut gangsa dari acara kriterium sebelum ini.