Sukan Komanwel: Skuad Bunga Raya terpaksa akur kualiti Afrika Selatan

Ammar Hakim
Julai 29, 2022 19:26 MYT
Skuad ragbi 7s negara terpaksa akur dengan kemampuan Afrika Selatan selepas tewas dalam aksi pembukaan Kumpulan B saingan Sukan Komanwel 2022, sebentar tadi.
Malaysia ternyata diletakkan dalam posisi yang sukar apabila diundi dalam Kumpulan B dan perlawanan pertama mereka satu cabaran besar yang perlu dilalui.
Berdepan Afrika Selatan, Malaysia yang berada di bawah kendalian Saizul Hafifi dianggap pasukan bukan pilihan.
Separuh masa pertama, Malaysia bergelut dengan persembahan pantas yang diketengahkan Afrika Selatan -- perlawanan tamat 22-0 tanpa sebarang try daripada skuad Bunga Raya.
Di separuh masa kedua, Malaysia terus diuji apabila Afrika Selatan tanpa belas kasihan dengan melengkapkan try demi try.
Sedikit drama menimpa skuad negara apabila Ahmad Zulhilmi Azizad, dikeluarkan selepas mengalami kecederaan.
Angelo Davids yang mempamerkan aksi menarik sepanjang perlawanan, dengan try kedua peribadinya menghadiahkan mata ke-39 buat Afrika Selatan.
Di penghujung perlawanan, Zayn Davids terus mengucar-kacirkan keadaan dengan jaringan minit terakhir sebelum tamat perlawanan berkesudahan 46-0.
#Malaysia #Ragbi 7s #Sukan Komanwel 2022 #Sukan Komanwel Birmingham
;