Stadium baru atau baiki stadium sedia buat Selangor?
Fadzrie Hazis
Ogos 12, 2020 23:02 MYT
Ogos 12, 2020 23:02 MYT
Masalah mengenai Stadium Shah Alam jelas tiada kesudahan dan terbaru, masalah bumbung stadium yang memerlukan kos baik pulih yang dianggarkan bernilai RM250 juta.
Stadium yang siap dibina pada 1994 itu sebelum ini menjadi kebanggaan negeri Selangor tetapi kebelakangan ini ia kerap berdepan dengan beberapa masalah yang menghalang skuad Selangor beraksi di laman keramat mereka itu.
Terdapat juga cadangan pembinaan stadium baru dengan kapasiti yang lebih kecil berbanding Stadium Shah Alam yang boleh memuatkan 80,000 penonton. Bagi penulis, cadangan ini mungkin boleh dipertimbangkan.
Memang pembinaan stadium memerlukan kos, tetapi jika kos baik pulih Stadium Shah Alam bernilai RM250 juta dan jika pembinaan stadium baru lebih murah ia wajar dipertimbangkan.
Atau mungkin Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) wajar menimbang kemungkinan menjadikan Stadium Petaling Jaya sebagai venue tetap Selangor, lagi pun persatuan itu sudah pun mengesahkan penggunaan stadium tersebut untuk saingan Liga Malaysia musim 2021.
Lokasi Stadium Petaling Jaya jelas lebih strategik dengan terdapatnya kemudahan pengangkutan awam seperti LRT berhampiran, tempat letak kereta yang keluasannya memuatkan 25,000 penonton tampak lebih sesuai buat pasukan-pasukan Liga Super seperti Selangor.
Jika kita lihat jumlah penonton ke Stadium Shah Alam membabitkan Selangor, hanya apabila perlawanan membabitkan lawan seperti Johor Darul Takzim (JDT), Kedah atau Perak ia mampu menarik bilangan penonton yang ramai.
Aksi perlawanan lain kebiasaannya hanya kurang daripada 30,000 penonton hadir menyaksikan perlawanan dan jika Stadium Petaling Jaya menjadi pilihan,setiap perlawanan membabitkan Selangor akan menyaksikan stadium penuh dan ia sesuatu yang baik daripada segi pemasaran pasukan.
Apa pun FAS mungkin perlu berbincang bersama pengurusan PJ City yang turut menggunakan stadium sama untuk aksi di tempat sendiri dan mugkin kedua-dua pihak boleh kongsi kos menyelengara stadium tersebut.
Mungkin juga FAS boleh menimbang kemungkinan menggunakan Stadium Merdeka, yang pasti mengembalikan nostalgia era kegemilangan Selangor di era 70an hingga 80an dulu.
Namun, difahamkan keadaan permukaan rumput di stadium tersebut tidak lagi sesuai untuk aksi perlawanan profesional dan ia memerlukan penyelenggaraan menyeluruh jika mahu digunakan kembali untuk saingan Liga M.
Kemudahan lain seperti bilik persalinan, tempat duduk penonton, tempat petugas media juga perlu dinaik taraf di stadium tersebut kerana pada hari ini, ia lebih banyak digunakan hanya untuk perlawanan amatur.
Sebelum ini terdapat juga cadangan daripada peminat Selangor buat FAS menggunakan Stadium Kajang bagi memberi peluang buat peminat di sana menyaksikan pasukan kesayangan mereka bermain.
Namun sudah pasti stadium tersebut juga perlu terlebih dahulu dinaik taraf dan tidak pasti sama ada ia mampu lulus piawaian pentadbir Liga M, MFL atau tidak kerana belum lagi digunakan untuk sebarang aksi Liga sebelum ini.
Bagi penulis, pilihan terbaik ialah menjadikan Stadium Petaling Jaya sebagai venue tetap manakala Stadium Shah Alam, selepas ia selesai melalui proses baik pulih, boleh digunakan jika membabitkan aksi perlawanan 'High Profile' atau aksi separuh akhir Piala FA dan Piala Malaysia.
Dengan ini, ia bukan hanya menjimatkan kos tetapi juga membolehkan Stadium Shah Alam diselenggara dengan lebih baik jika ia kurang digunakan memandangkan ia kini juga sudah berusia 26 tahun.