Russia menyerang negara jiran, Ukraine, sejak Khamis lalu selepas ketegangan politik di antara kedua-dua negara semakin memuncak.
Tindakan Russia itu telah menerima kecaman yang meluas termasuk dikenakan sekatan kewangan, sukan dan politik dalam usaha untuk menghalang pencerobohan tersebut daripada berterusan.
Shevchenko -- yang merupakan penjaring gol terbanyak sepanjang masa Ukraine selain pernah menggalas jawatan ketua jurulatih -- sebelum ini meminta orang ramai agar menyertainya yang lantang menentang serangan itu sambil menyeru agar keamanan dipulihkan.
Dia tinggal di London sepanjang konflik ini apabila mengetuai bantuan kemanusiaan dan meningkatkan kesedaran di England, tetapi keluarganya masih tinggal di Ukraine sebagai tanda solidariti dengan rakan senegara mereka.
Justeru, buat masa ini Shevchenko tidak lagi berminat dengan sukan itu yang menjadikannya terkenal.
"Bola sepak tidak wujud lagi buat saya," katanya kepada Sky Sports.
"Saya langsung tidak memikirkannya. Ini bukan masanya. Saya langsung tidak menonton sebarang perlawanan dan mana-mana sukan.
"Segala tumpuan saya, sebaik bangkit daripada tidur, saya hanya memikirkan soal bagaimana saya boleh membantu negara saya, apa yang boleh saya lakukan.
"Saya telah mula menghubungi ibu bapa, rakan-rakan saya bagi mendapatkan maklumat terkini tentang apa yang berlaku di Ukraine.
"Bagi saya, ini adalah gelanggang saya, inilah tumpuan saya sekarang."