Shahrul Nizam sudah tahu dalam senarai menunggu Harimau Malaya, kata Cheng Hoe
Shaiful Shamsudin
Oktober 3, 2021 20:19 MYT
Oktober 3, 2021 20:19 MYT
Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, mendedahkan pemain Terengganu, Shahrul Nizam Ros Hasni, sebenarnya sudah dimaklumkan lebih awal agar bersiap sedia sekiranya dipanggil menyertai kem latihan pusat.
Harimau Malaya kini menjalani kuarantin wajib di Amman, Jordan, selepas 15 jam perjalanan sebelum mengharungi dua perlawanan persahabatan dengan tuan rumah dan Uzbekistan, Rabu dan Sabtu depan.
"Kami sudah menghubunginya sebelum senarai pemain dikeluarkan dan dia juga tahu bahawa dia dalam senarai menunggu.
"Ini peluang terbaik buatnya tetapi walaupun dia tidak bersama kami (pada kali ini), kami perlu lihat pada masa depan sama ada perlu memanggilnya semula atau sebaliknya.
"Semua pemain sudah bersama kami termasuk Luqman (Hakim Shamsudin) dan Dominic Tan.
"Mereka sedang dalam tempoh pemulihan. Semalam saya nampak pemain keletihan tetapi mereka menunjukkan tanda positif menerusi semangat ketika berlatih," katanya.
Pertahanan itu gagal dihubungi termasuk oleh wakil kelabnya untuk menyertai skuad negara berikutan turun ke laut.
Malaysia yang menduduki ranking ke-154 dunia akan menguji pasukan Jordan yang di tangga ke-93 dunia di Stadium King Abdullah II disusuli berdepan pasukan ke-84 dunia, Uzbekistan, di Stadium Antarabangsa Amman.