Majlis Sukan Negara (MSN) akan memulakan pelbagai bantuan buat atlet bina badan kebangsaan di bawah Program Podium.

Ia bagi memastikan atlet kebangsaan dapat melalui persiapan yang sempurna dan tampil cemerlang dalam Sukan SEA Kemboja tahun depan.

Jenis bantuan yang akan diberikan bakal dibincangkan dalam mesyuarat dan akan diumumkan bulan depan.

Pengarah Bahagian Persediaan Atlet MSN, Jefri Ngadirin, berkata kepada wartawan Nadi Arena, Syen Yeoh: "MSN akan memberikan bantuan daripada segi pendedahan pertandingan, latihan, termasuk juga perkhidmatan sains sukan daripada pihak ISN (Institut Sukan Negara).

"Pihak MSN, ISN dan persatuan sudah bersetuju untuk merangka program dan elemen pemakanan akan dimasukkan dalam bentuk-bentuk perkhidmatan sokongan yang akan diberikan pihak ISN.

"Sudah semestinya juara dunia seperti Mike (Syarul Azman Mahen) akan mendapat kelebihan daripada segi bantuan.

"Untuk atlet lain, ia bergantung kepada kedudukan mereka di dalam program dan MSN dan ISN telah berbincang untuk membantu mereka daripada segi persiapan yang lebih baik.

"Memang kami menyasarkan sekurang-kurangnya dua pingat emas daripada mereka (di Kemboja) dan kami yakin tiga pingat emas yang diraih mereka dalam Kejohanan Dunia dapat direalisasikan di Kemboja nanti.

"Bermula bulan depan, kami akan memulakan fasa kedua, di mana intensiti program akan lebih tinggi, bantuan lebih banyak supaya mereka dapat melakukan persiapan lebih baik dari Januari sehingga Mei depan," katanya.