Hasrat bapa kepada pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Muhammad Syafiq Ahmad, untuk melihat cucu lelaki yang baru dilahirkan tidak kesampaian apabila cucu, yang berusia 22 hari itu, maut dalam kemalangan tersebut.

Penyerang negara berusia 25 tahun itu terlibat dengan kemalangan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Sungai Bakap, awal pagi tadi, yang mengorbankan anak lelakinya, Muhammad Aisy Saqeef; ibu mentuanya, Zainab Wahab (45 tahun) dan warga Indonesia Titik Sukamti (30-an) sementara seorang lagi anak perempuannya, Aaira Nur Saffiyya (2) cedera ringan manakala isterinya, Nur Amalina Nur Ain (25), parah.

Menurut Ahmad Ibrahim, mereka sekeluarga sudah merancang untuk melawat keluarga Syafiq di Johor selepas dia dikurniakan cahaya mata pada 14 November lalu tetapi terpaksa menundanya berikutan kawasan rumah di Bayan Baru dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Saya memang rancang untuk Johor tengok cucu (baru) tetapi kebetulan kelmarin PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) disambung, jadi kami (tangguh) rancangan ke sana pada 24 Disember ini," katanya di Unit Forensik Hospital Sungai Bakap, hari ini.


NYALAAN LAMPU PUTIH DAN MESEJ TAKZIAH DI STADIUM SULTAN IBRAHIM UNTUK SYAFIQ AHMAD & KELUARGA ——— WHITE LIGHTS AND...

Posted by JOHOR Southern Tigers on Sunday, December 6, 2020


Sementara itu, menceritakan mengenai kejadian yang menimpa anaknya, dia menerima panggilan kira-kira jam 4 pagi tadi yang memintanya segera ke lokasi kejadian dan pada mulanya tidak mempercayainya ketika dimaklumkan.

"Saya tidak terfikir Syafiq (terlibat dalam kemalangan).

"Bukankah dia ada di Johor, kemudian saya tanyalah apa nama (mangsa).

"Dia beritahu: 'anak pak cik nama Syafiq'. Barulah saya terbayang mungkin dia balik ke rumah mentua dulu seperti kebiasaannya.

"Isterinya masih dalam pantang kira-kira 22 hari, kami sebelah keluarga Syafiq memang tidak sempat (bertemu cucu baru)."

Berdasarkan perbualan Ahmad bersama anaknya, yang memandu kereta jenis Toyota Vellfire itu, memaklumkan cuba mengelak sesuatu yang melintas lalu menyebabkan kenderaannya terbabas dan merempuh pembahagi jalan.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, jenazah anak lelaki Syafiq dan ibu mentuanya dijangka dikebumikan di Pendang, Kedah.

Pengendali kebangsaan, Tan Cheng Hoe, turut melawat dan memberi sokongan moral kepada pemain kelahiran Kedah itu.

"Tiba-tiba subuh tadi saya dapat panggilan yang memberitahunya terbabit kemalangan.

"Saya terkilan. Saya harap Syafiq Ahmad dan keluarganya tabah menghadapi dugaan ini, kami sebagai rakan sepasukan sentiasa memberinya sokongan," kata penjaga gol JDT, Farizal Marlias.