Kelayakan Euro 2024: Shane Duffy harap Ferguson dapat jadi tonggak Ireland untuk tahun-tahun mendatang

Muzaffar Musa
Oktober 13, 2023 12:39 MYT
Shane Duffy berharap Evan Ferguson dapat menjadi tonggak Republik Ireland untuk tahun-tahun mendatang selepas pemain remaja itu mula menyerlah di peringkat antarabangsa.
Ketiadaan penyerang Brighton berusia 18 tahun itu bersama negaranya dalam perlawanan pusingan kelayakan Euro 2024 menentang Perancis dan Belanda bulan lalu mengakibatkan pengurus mereka, Stephen Kenny, kehilangan senjata paling ampuh dalam perebutan dua kelompok teratas Kumpulan B bagi melayakkan diri ke kejohanan utama di Jerman tahun depan, yang kelihatan sudah menghampiri penghujungnya.
Ferguson akan kembali memperkuatkan Ireland bagi perlawanan menentang Greece di Stadium Aviva awal pagi esok dan selepas melihat aksi pemain itu dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dan di peringkat antarabangsa, bekas rakan sepasukannya di Seagulls, Duffy, percaya Ferguson memiliki segala-galanya untuk menjadi bintang besar tidak lama lagi.
Dia berkata: "Bagi saya, dia memiliki segalanya, dia memiliki pakej lengkap, dia seorang remaja yang kuat, seorang pemusnah terbaik, dia mahu bekerjasama dengan rakan sepasukan dan dia bersedia untuk belajar.
"Untuk seorang yang berusia 18 tahun, terdapat banyak tekanan buatnya dan anda akan fikir dia memiliki pembawaan yang baik.
"Kami semua benar-benar teruja untuk melihat masa depannya. Harap-harap dengan sedikit tuah, dia akan menjadi tonggak kami untuk tahun-tahun mendatang dan mendapatkan gol yang kami semua perlukan.
"Dia benar-benar seorang remaja yang bagus, dia memiliki masa depan yang cerah," katanya.
#bola sepak #Republik Ireland #Shane Duffy #Kelayakan Euro 2024 #Evan Ferguson
;