Jurulatih Kedah Darul Aman, Aidil Sharin Sahak, enggan meratapi kehilangan Rabih Ataya biarpun tonggak import dari Lubnan itu muncul antara watak penting dalam kemenangan 3-1 ke atas Kelantan United.
Aidil Sharin mengesahkan pemain tengah itu tidak dapat bersama Lang Merah bermula aksi penentuan juara Kumpulan C menentang Melaka United, Selasa ini, berikutan komitmen bersama skuad kebangsaannya.
Kejayaan di Kota Bharu malam tadi membuka peluang untuk mereka merampas takhta kumpulan , secara tidak langsung berharap tidak bertembung juara Kumpulan D, Johor Darul Ta'zim (JDT), di peringkat suku akhir.
"Dia adalah tonggak pasukan. Dalam separuh masa pertama malam ini, dia menghasilkan beberapa hantaran berharga.
"Sudah tentu kami perlu buat apa yang termampu, ini bukan kali pertama Kedah hilang pemain utama.
"Sebab itu kami mempunyai ramai pilihan pemain untuk mengimbangi perlawanan seterusnya, saya sentiasa gembira dapat memberi peluang kepada pemain-pemain," katanya dalam sidang media selepas wisel penamat.
Sementara itu, penolong pengurus Kelantan United, Nik Khuzaimi Nudin, menjelaskan pihak pengurusan belum membincangkan hala tuju pemangku jurulatih, Nazrulerwan Makmor, memandangkan pasukan Pantai Timur berkenaan terkandas di peringkat kumpulan Piala Malaysia.
"Pihak pengurusan belum buat apa-apa keputusan lagi. Daripada segi perancangan, mungkin ambil pemain baru termasuk pemain import untuk bersaing lebih hebat dalam Liga Perdana musim depan."
Menurut Nazrulerwan pula: "Saya bangga walaupun ambil pasukan ini di pertengahan musim. Saya dapat mengubah sikap, persepsi pemain untuk berlawan.
"Saya telah menyerap lima pemain presiden untuk bersama pasukan. Pemain muda ini berbakat untuk (mengisi tempat dalam pasukan) tahun depan."
Shaiful Shamsudin
Sun Nov 07 2021