Bekas jurulatih Malaysia, R. Puvaneswaran, melabelkan karate negara sedang melewati era kejatuhan ekoran prestasi buruk dalam Sukan Asia kali ini.
"Apa mereka dah buat?" Itu persoalan yang ditimbulkan Puvaneswaran sebaik tamat saingan acara karate di Jakarta, semalam.
Karate diberi mandat untuk membutirkan dua pingat emas, namun hanya satu gangsa yang dibawa pulang.
Tegasnya, apa yang berlaku ketika ini amat jauh dengan kredibiliti yang telah dibina ketika eranya sebagai atlet negara.
"Atlet Malaysia hanya memenangi pingat gangsa.
"Ini amat menyedihkan kerana karate sering menyumbangkan dua emas dalam Sukan Asia.
"Apa masalahnya? Amat menyedihkan melihat situasi karate Malaysia," kata Puvaneswaran yang kini melatih skuad karate Thailand.
Persoalan itu dituju kepada Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) mengenai apa yang terjadi kepada barisan atlet bertaraf dunia yang dilihat serba tidak menjadi di pelbagai peringkat Asia.
MAKAF perlu bertanggungjawab sepenuhnya kerana hasil yang dibawa pulang dari Jakarta sememangnya satu kegagalan.
"Dalam pertarungan karate, anda hanya akan berhenti setelah pengadil menamatkan pertarungan, ini kerana anda tidak tahu apa yang akan berlaku dalam tempoh sebelum itu.
"Peraturan ketika ini menyaksikan apa jua boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja," katanya.
Penulis Jemputan
Tue Aug 28 2018