Perkara itu disahkan bapa kepada penyerang Johor Darul Ta'zim FC (JDT) itu, Ahmad Ibrahim, sambil berkata emosi Syafiq kini lebih tenang untuk menguruskan keperluan keluarganya.
Nor Amalina dilaporkan terpaksa menjalani pembedahan kecemasan semalam disebabkan kecederaan usus yang memerlukan tindakan segera pihak perubatan.
"Kecederaan perut itu mereka (pihak perubatan) kata kemungkinan melibatkan usus yang koyak atau pecah," kata Ahmad kepada Nadi Arena.
"Mereka takut ada pendarahan dalam perut, jadi perlu melakukan pembedahan.
"Semalam saya dapat maklumat, pihak hospital menghubungi saya dan memaklumkan bahawa anak (menantu) saya selamat menjalani pembedahan.
"Alhamdulillah, keadaan dalamannya tiada masalah.
"Emosi Syafiq, Alhamdulillah sudah nampak berbeza bebanding semalam.
"Tadi dia berjumpa saya dan nampak sudah kembali ada semangat.
"Kalau dibandingkan dengan semalam, faham-faham sahajalah perkara baru berlaku, jadi dia nampak seperti tiada semangat," katanya.
Penyerang JDT Syafiq Ahmad kemalangan, anak terkorban
— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) December 6, 2020
Syafiq terlibat dengan satu kemalangan ngeri di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di Sungai Bakap awal pagi semalam yang turut mengorbankan bayi lelakinya berusia 22 hari, Muhammad Aisy Saqeef, selain ibu mertua, Zainab Wahab, 45, dan pembantu rumahnya, Titik Sukamti.
Isterinya mengalami kecederaan parah dan dimasukkan ke zon merah Hospital Sungai Bakap manakala anak perempuan sulungnya, Aaira Nur Saffiya, dilaporkan mengalami pendarahan otak.
Dalam insiden kira-kira jam 4 pagi itu, kenderaan jenis Toyota Vellfire yang dipandu Syafiq dipercayai hilang kawalan sehingga terbabas melanggar pembahagi jalan sebelah kanan.