SUKAR untuk dibuang rasa kecewa angkara tumbangnya skuad negara di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) lalu, tetapi menangis di bucu katil jangan diulang ketika Harimau Malaya turun membawa misi untuk menebus malu!
Kekal dengan sembilan mata selepas enam perlawanan – merosot pula ke tangga keempat kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 – bukan hakikat yang sedap untuk dihadam.
Tetapi percayalah, igauan sebegitu mampu segera dipadam!
Memang betul, dalam tempoh tujuh tahun dan lima pertemuan menentang Vietnam – lawan bakal dihadapi awal pagi Sabtu ini – skuad negara langsung tidak mengecapi manisnya kemenangan.
Memang betul, juga, Vietnam tampak tidak teruk terjejas tanpa kelibat tonggak seperti Nguyen Quang Hai dan Nguyen Tuan Anh – yang dibuktikan dengan kemenangan mudah 4-0 mengatasi Indonesia.
Semua itu membuakkan rasa sangsi, skuad Tan Cheng Hoe berbeza daripada barisan yang pernah mencipta sensasi.
Macam-macam alasan boleh dikaitkan – sepak mula liga tempatan lambat, tempoh kem latihan singkat, kombinasi pemain yang berselerak merata tempat…semua itu sudah didebat penuh hebat warga netizen yang punya pelbagai pendapat!
Namun ia bukan topik utama ketika ini. Harimau Malaya kini perlu mencari upaya untuk menjelmakan kemampuan sebenar mereka. Kita mahu padam igauan lalu!
Kehadiran semula Brendan Gan boleh dianggap satu rahmat ketika jentera tengah sepanjang beberapa perlawanan sebelum ini tampak longlai…yang jelas disaksikan kita yang menonton Malaysia ketika bertemu UAE.
Dijangka digandingkan bersama Liridon Krasniqi, permainan lebih mantap dituntut supaya jentera serangan negara diketuai Guilherme De Paula mampu meledak sentuhan penyudah berbisa – sekali gus menutup ragu kehadiran pemain naturalisasi dalam kesebelasan utama.
“Penyokong Malaysia perlu percaya kami di sini bukan untuk bercuti. Kami bekerja keras setiap hari, setiap sesi. Kami berjuang untuk lebih 30 juta penyokong, bukan untuk diri sendiri,” tegas De Paula dalam wawancara sebelum perlawanan.
Jika itu tunjang semangatnya, ayuhlah kita percaya!
Betapa persefahaman dalam padang harus lebih meningkat. Elemen ‘decision-making’ untuk setiap hantaran, gerakan dan percubaan juga akan lebih berkesan menggoyahkan lawan.
Tipulah jika kita tidak mahukan kemenangan. Tetapi kemenangan kali ini lebih besar maknanya – ianya berupaya untuk ‘menjernihkan semula kekeruhan’ terhadap maruah Harimau Malaya, bukan hanya meraih mata kelayakan semata mata!
Demi lencana di dada, semoga berjaya Harimau Malaya!
Ammar Hakim
Thu Jun 10 2021