Beberapa hari sebelum bermulanya saingan GP San Marino, beberapa akhbar tempatan memainkan berita mengenai masa depan pelumba kebanggaan Malaysia, Hafizh Syahrin yang beraksi dalam saingan Moto2.

Ada yang mengatakan dia kurang serasi dengan individu dalam pengurusan Petronas Raceline Malaysia, sehingga dia kini diintai oleh sebuah lagi pasukan tempatan, SIC Racing Team yang turut sedang mempersiapkan seorang lagi anak watan, Adam Norrodin untuk menjadi antara kebanggaan negara dalam saingan Moto3.

Tolak ketepi mengenai "mitos" pelumba Malaysia hebat jika beraksi dalam litar basah, Hafizh membuktikan dia masih unggul dan memperbaiki pencapaiannya setiap kali beraksi di Litar Misano, San Marino.

2014, Hafizh meraih kedudukan ke 20, setahun selepas itu, dia menginjak ke kedudukan ke 18. Kemudian pada 2016, tahun yang menyaksikan Hafizh konsisten dalam saingan Moto2, dia membuat kejutan apabila meraih kedudukan ketujuh, mengatasi beberapa pelumba hebat seperti Sandro Cortese dan Jonas Folger.

Kini, dia membuktikan dia adalah pelumba motosikal terbaik negara, mengenepikan segala kemelut yang melanda kariernya ketika ini, dengan memacu jenteranya dalam keadaan hujan, untuk berada di belakang Dominique Aggeter dan Thomas Luthi, menaiki podium pertamanya untuk musim ini.

Jadi persoalannya kini, adakah dengan kejayaan ini akan kembali membuatkan Hafizh berfikir semula tentang masa depannya bersama Petronas Raceline Malaysia? Hafizh sudah pun bersama dengan pasukan ini sejak 2011 (ketika itu Petronas Malaysia), dan sejak dari itu, kariernya juga turut berkembang di pentas antarabangsa.

Walau apapun keputusan Hafizh, ramai rakyat Malaysia tetap doakan bahawa anda terus memacu kejayaan buat Malaysia dalam sukan permotoran, tahniah Pescao 55 !

Kredit foto: Facebook Official Fan Club Hafizh Syahrin