NEWCASTLE UNITED 1 MANCHESTER UNITED 1

Edinson Cavani muncul penyelamat Manchester United apabila jaringannya dalam babak kedua memastikan pasukan itu mengikat Newcastle United 1-1 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di St James' Park awal pagi tadi.

Jaringan itu turut meyaksikan rekod tanpa kalah Ralf Rangnick sejak mengambil alih pasukan itu dikekalkan.

The Red Devils dilabel sebagai segerombolan 'whingebags' oleh pengulas Sky, Gary Neville, pada waktu rehat, dan selepas memulakan era Rangnick dengan kemenangan 1-0 ke atas Crystal Palace dan Norwich City, mungkin ia adalah satu realiti yang perlu dikaji mereka.

Jaringan pembukaan Saint-Maximin buat Newcastle seawal minit ketujuh jelas amat berharga dan penyerang Perancis berkenaan juga hampir menggandakan kelebihan itu pada awal babak kedua.

Pasukan pelawat, United -- yang kelihatan seperti kehilangan disiplin dalam babak kedua, di mana Cristiano Ronaldo hampir dibuang padang kerana terjahan berbahaya ke atas Ryan Fraser -- perlu berterima kasih kepada pemain gantian, Cavani, yang berada di posisi tepat untuk menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-71.

Dengan keputusan itu, United terlepas peluang untuk melonjak ke tangga kelima EPL dan terpaksa akur kekal di tangga ketujuh dengan 28 mata meskipun berkelebihan dua perlawanan dalam tangan.

Newcastle pula terus bergelut di zon penyingkiran dengan 11 mata dan hanya berkelebihan satu mata di depan pasukan tercorot, Norwich.