Harvey Elliott menegaskan dia bersedia untuk meningkatkan permainannya bagi mengintai peluang mewakili England dalam Euro 2024.

Pemain tengah Liverpool itu buat kali pertama mengetuai pasukan B-21 England pada Isnin lalu, di mana mereka tewas 2-3 kepada Ukraine pada minit terakhir perlawanan di Slovakia itu.

Walaupun mengalami permulaan mengecewakan bersama The Reds musim ini, Euro 2024 kekal menjadi matlamat utama Elliott selepas kemenangan 3-1 England ke atas Itali pada Selasa lalu mengesahkan kelayakan mereka untuk beraksi di Jerman tahun depan dan Elliot bersedia untuk mengambil peluang yang ada.

"Ia adalah matlamat yang baik untuk dicapai dan disasarkan. Laluannya ada di sana, ia cuma memerlukan perkembangan dari perlawanan ke perlawanan dan jika peluang itu datang, saya akan menjadi pemain muda paling gembira di dunia.

"Skuad B-21 adalah fokus utama saya, saya perlu pastikan saya menjadi pemain terbaik untuk diri saya sendiri.

"Jika saya tidak memulakannya, ia tidak akan ada sebarang perubahan. Saya perlu melakukan perkara asas dengan betul, tunjukkan contoh yang baik dan jika peluang itu ada, ia akan datang. Jika tidak, saya perlu terus bekerja keras," katanya.