England tiada alasan lagi memandangkan cabaran pusingan kalah mati EURO 2024 sedang menanti mereka, demikian kata Anthony Gordon yang berharap diturunkan dalam kesebelasan utama ketika bertemu Slovakia, tengah malam Isnin ini.

Pasukan bimbingan Gareth Southgate itu gagal menepati jangkaan sebelum kejohanan tetapi masih mampu mengungguli Kumpulan C dengan lima mata.

Skuad The Three Lions mengatasi Serbia 1-0 dalam perlawanan pembukaan diikuti keputusan seri dengan Denmark dan Slovenia.

Dua perlawanan terakhir itu mengundang persoalan mengenai keupayaan England termasuk sentuhan Southgate sendiri, lantas Gordon akur bahawa mereka perlu menyajikan persembahan yang lebih jitu di Gelsenkirchen.

“Saya fikir sebagai sebuah pasukan, kami hanya perlu bersatu, kami perlu beraksi hebat dalam tekanan tinggi,” kata pemain muda England itu dalam sidang media pra-perlawanan.




"Sekarang kami sudah berada di peringkat kalah mati jadi kami berdepan kemungkinan tiada lagi perlawanan seterusnya, pasukan seterusnya. Kini kami perlu bangkit dan menepati reputasi sendiri.

"Ia terpulang kepada kami kerana kami yang akan berjuang di atas padang. Kami yang boleh memberi impak dan mengubah keadaan. Jadi saya fikir sebagai pemain, kami hanya perlu bertanggungjawab dan menggalasnya.

"Itulah maksud bola sepak. Itulah sebabnya kami mahu berada dalam perlawanan ini, kerana tekanannya di tahap yang paling tinggi.

"Jika kami memenangi perlawanan ini, di situlah perasaan yang kami dambakan setiap hari. Jadi saya fikir ini perkara yang positif."