The Gunners memimpin EPL selama 248 hari sepanjang musim lalu sebelum dipintas Manchester City bimbingan Pep Guardiola, yang kemudian memenangi gelaran 'treble' sambil Arsenal pula hampa tanpa sebarang kejuaraan.
Arteta mengakui masih terluka dengan kegagalan itu tetapi berasakan terdapat banyak perkara positif untuk diraikannya sepanjang musim lalu dan sejak mengambil alih pasukan itu.
?⚪ Mikel Arteta: "En muchos momentos, sí me vi ganador de la Premier"
— MARCA (@marca) June 25, 2023
✍ @Juan_Castro_10 consigue la entrevista más buscada de toda la Premier League
https://t.co/g0QnkzYvrz
Dalam satu temu bual bersama Marca, pengurus berbangsa Sepanyol berusia 41 tahun itu berkata: "Sehingga hari ini, ia masih melukai saya secara mendalam apabila tidak dapat memenangi EPL selepas 10 bulan bersaing dengan City.
"Tetapi inilah sukan. Saya boleh katakan apa yang dicapai oleh pasukan semuda ini amat berbaloi. Ia amat jelas buat saya," katanya.
Arteta, yang mengambil alih tugas di Stadium Emirates pada 2019, menambah: "Ia bermula lebih tiga tahun lalu. Saya merupakan penolong Pep di City, kami bermain menentang Arsenal dan saya dapat lihat kelab ini sudah kehilangan jiwa.
"Saya tidak gembira melihatnya, ia tidak sepatutnya seperti itu.
"Saya sedar terdapat pilihan untuk saya berada di bangku pasukan yang satu lagi dan saya tahu kelab ini amat besar dan anda perlu menghubungkan pasukan dengan penyokongnya. Ia amat sukar untuk dilakukan dan kini saya rasa gembira.
"Kami kini memiliki identiti yang amat jelas, terdapat penyatuan dan kami amat bertenaga.
"Itulah perkara terbesar. Secara keseluruhannya, mereka semua menuju ke arah yang sama," katanya.