Ketua pasukan Selangor, Brendan Gan, harap tempoh singkat yang ada sebelum perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia mampu dimanfaatkan sebaik mungkin pasukannya bagi memperbaiki segala kelemahan yang ada.

Ketua jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe, kembali mengarahkan barisannya menyambung latihan selepas diberi cuti sehari berikutan kemenangan 2-0 ke atas seteru Liga Super, Negeri Sembilan.

"Kami kembali menjalani latihan (semalam). Saya harap ruang yang ada ini perlu digunakan untuk memperbaiki beberapa kelemahan memandangkan ia bukanlah satu permainan sempurna diperagakan kami," katanya menjelang aksi timbal balik Sabtu ini.

Malah, Brendan menjangkakan Gergasi Merah bakal berdepan tentangan sengit ketika bertandang ke Paroi meskipun skuad lawan kendalian K. Devan itu kehilangan khidmat tonggak pertahanan import, Herold Goulon, yang dilayangkan kad merah dalam perlawanan suku akhir pertama di Stadium MBPJ Ahad lalu.

"Herold Goulon merupakan seorang pemain yang mantap.Dia merupakan kehilangan besar buat mereka.




"Negeri Sembilan kehilangan khidmatnya dalam Liga Super, sebaliknya mereka masih mampu mencabar selain memungut mata ke atas pasukan bawahan.

"Jadi kami tidak bersikap sambil lewa dan sudah semestinya mereka ingin bangkit dalam pertemuan kedua ini," katanya.