BARCELONA 1 ALAVES 1

Sergio Aguero telah dikejarkan ke Hospital selepas dikeluarkan dalam babak pertama perlawanan LaLiga menentang Deportivo Alaves di Camp Nou awal pagi tadi, demikian disahkan Barcelona.

Pemain kebangsaan Argentina itu melakukan penampilan LaLiga pertamanya di Camp Nou tetapi terpaksa digantikan dengan Philippe Coutinho hanya selepas 41 minit perlawanan dimulakan.

Aguero terbaring dan dilihat memegang dadanya sebelum diperiksa pasukan perubatan walaupun dia kemudian dapat berdiri dan berjalan ke tepi padang.

Kelab itu kemudian mengesahkan bahawa bekas penyerang Manchester City itu mengadu mengalami kesakitan di dada dan dimasukkan ke hospital bagi menjalani pemeriksaan jantung.

Barca juga kehilangan khidmat Gerard Pique, yang mengalami kecederan betis kanan ketika terikat 1-1 dalam perlawanan itu.

"(Aguero) memberitahu saya bahawa dia berasa sedikit pening," kata jurulatih sementara Barca, Sergi Barjuan, kepada Marca.

"Kini, saya dapat tahu bahawa dia sudah dikejarkan ke hospital. Saya tidak dapat bercakap lebih daripada itu.

"Selain daripada mendoakannya dan membuat sidang media, sukar untuk mengetahui lebih perkembangan mengenainya," katanya.

Ia merupakan perlawanan pertama di bawah kendalian Sergi sejak menggantikan Ronald Koeman awal minggu ini.

Jaringan pembukaan Memphis Depay pada minit ke-49 dipadamkan Luis Rioja hanya berselang tiga minit.

Walaupun pasukan tuan rumah itu menguasai hampir 80 peratus pemainan dan mendaftarkan 16 percubaan ke gawang lawan, mereka terpaksa berpuas hati dengan pungutan satu mata.

"Kami menguasai permainan dan kami bermain secara intensif dalam babak kedua," tambah Sergi.

"Kami memiliki peluang untuk menjaringkan gol dan memenangi perlawanan ini tetapi tidak dapat melakukannya.

"Saya hanya memiliki waktu yang amat terhad untuk bersama pemain saya. Saya sudah mencuba untuk memberikan arahan ketika bertahan dan menyerang.

"Tetapi pemain kami amat bagus dan mereka perlu mempercayai kemampuan diri mereka," katanya lagi.