UKM Oval bakal pacu kriket negara
Penulis Jemputan
Januari 7, 2019 15:49 MYT
Januari 7, 2019 15:49 MYT
Pro Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, mahu melahirkan ramai bakat pelapis kriket berkaliber selepas buat julung kalinya UKM memiliki sebuah oval kriket bertaraf antarabangsa.
Impian UKM untuk memiliki oval kriket direalisasikan oleh Yayasan Sime Darby yang menyumbang RM1.4 juta daripada RM2.3j jumlah kos keseluruhan pembinaan berkenaan.
Justeru, Ahmad Sarji mahu memanfaatkan peluang tersebut dengan memperkukuhkan jenama kriket UKM selain berharap dapat menggunakan kemudahan sedia ada bagi meningkatkan prestasi pasukan.
Selain itu, skuad kriket UKM adalah antara pasukan yang diiktiraf sebagai pusat kecemerlangan kriket di peringkat institusi pengajian tinggi selepas menjuarai Kejohanan Kriket Undangan Piala Tuanku Ja'afar pada 2007.
"Ini satu pembangunan positif kerana apabila anda membentuk sebuah pasukan, anda perlu membuat pemilihan pemain.
"Maka, anda perlu menempuhi sesi latihan yang membawa maksud pembangunan positif," ujar Ahmad Sarji.
"Setahun lalu, UKM dan Persatuan Kriket Melayu telah mengadakan perbincangan yang akan membawa manfaat kepada kedua-dua pihak.
"UKM akan menyerap beberapa pemain kriket pasukan ini untuk mengikuti pengajian di sini," tambahnya.
Sementara itu, fokus utama pembinaan oval kriket itu adalah untuk menganjurkan kejohanan kriket bermutu tinggi di peringkat universiti, kebangsaan dan antarabangsa seperti Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT), Kejohanan Perisai Raja-Raja dan Kejohanan Divisyen 4 Liga Kriket Dunia.