Saham pemain futsal negara semakin melonjak di pasaran antarabangsa apabila Yazid Kamaruzuan muncul pemain terbaru yang akan berkelana ke luar negara dengan menyertai kelab futsal Australia, VIC Vipers FC.
Yazid muncul pemain kedua negara yang berhijrah ke luar negara sebagai pemain profesional selepas Khairul Effendy Bahrin yang beraksi di Indonesia.
Namun, menariknya, Yazid akan muncul pemain Malaysia pertama bermain dalam Kejohanan Kelab AFC yang akan berlangsung bulan depan dengan menyertai VIC Vipers FC dengan status pinjaman.
"Saya berharap dapat mengutip seberapa banyak pengalaman dan paling penting, saya ingin membuktikan bahawa pemain Malaysia mampu cemerlang di luar negara," ujarnya.
Sungguhpun perlu berlepas ke Australia malam ini, Yazid masih sempat mengerah kudratnya bersama Kuantan Rangers dalam saingan Liga Futsal Kebangsaan (LFK) yang kembali bersambung hujung minggu ini.
Pertemuan itu menyaksikan Kuantan Rangers cemas sebelum merakam kemenangan 3-2 ke atas KL City FC di Shah Alam, hari ini.
"Ini satu pencapaian yang sangat baik memandangkan KL City sebuah pasukan mantap kerana selama ini kami tidak pernah mengalahkan mereka.
"Apapun, kami tidak boleh terlalu selesa," kata Pengurus Kuantan Rangers FC, Tengku Indera Aidy Ahmad Shah.
Penulis Jemputan
Sun Jul 08 2018