Penembak senior negara, Nur Suryani Taibi, menganggap persembahannya dalam Sukan Olimpik Tokyo kali ini lebih baik berbanding sewaktu penampilan sulungnya di London pada 2012 meskipun gagal ke final acara 50 meter rifle tiga posisi di Lapang Sasar Asaka hari ini.

Nur Suryani, 39, menamatkan pusingan kelayakan di tangga ke-34 daripada 37 peserta.

Permulaan kurang baik di posisi melutut menyaksikan dia hanya mengumpulkan 379 mata sebelum bangkit di posisi meniarap dengan 395 mata.

Bagaimanapun, beberapa kesilapan sewaktu beraksi di posisi berdiri, yang menyaksikan dia sekadar mengumpulkan 368 mata, memaksa Nur Suryani mengucapkan selamat tinggal kepada edisi kali ini selepas hanya merekodkan 1142 mata keseluruhan.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, dia berkata: "Secara keseluruhannya hari ini, saya agak terganggu di posisi melutut dan berdiri tetapi saya mencuba mengawalnya dengan kembali fokus, namun pungutan mata masih tidak mencukupi.

"Alhamdulillah, walaupun hanya ada sebulan setengah sahaja untuk menjalani persiapan, segalanya berlangsung dengan amat baik dan saya telah berusaha secara profesional, jadi lebih berpuas hati berbanding pada 2012 lalu."