Tokyo 2020: Nur Dhabitah tumpu perjuangan esok

Shaiful Shamsudin
Julai 30, 2021 19:38 MYT
Emosi bercampur baur menyelubungi aksi skuad terjun negara dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 hari ini.
Nur Dhabitah Sabri menepati ramalan mara ke separuh akhir acara 3 meter papan anjal tetapi dalam masa yang sama, hiba tatkala rakan seperjuangan, Wendy Ng, tenggelaman di Pusat Akuatik Olimpik Tokyo.
Dhabitah dan Wendy menjadi harapan negara untuk acara itu bersaing bersama 25 lagi penerjun dari seluruh dunia.
Hanya 18 slot sahaja ditawarkan untuk menjamin tempat ke separuh akhir.
Nur Dhabitah bermula cemerlang apabila terjunan pertama meletakkan dirinya di tangga ketiga selepas meraih 67.50 mata.
Biarpun pungutan mata Nur Dhabitah untuk baki empat lagi terjunan menurun, namun kedudukannya untuk layak ke separuh akhir tidak tergugat apabila secara keseluruhan meraih 291.60 mata yang meletakkan penerjun berusia 22 tahun itu di kedudukan 10 terbaik.
"Selepas terjunan kelima, tidak sebagus yang saya mahukan tapi ia sudah pun berlalu.
"Saya tidak mahu fikir apa-apa lagi. Alhamdulillah saya dapat teruskan ke peringkat seterusnya.
"Saya hanya mahu fikirkan tentang aksi esok," katanya yang akan bertanding dalam separuh akhir jam 2 petang esok.
Sementara itu, Wendy cuba menahan air matanya daripada jatuh kerana tidak melunaskan hasratnya sendiri sambil percaya dia seharusnya menonjolkan persembahan yang lebih berkualiti.
"Kami bekerja keras untuk temasya ini, ini adalah (pentas) Olimpik.
"Persiapan saya tidak begitu bagus (akibat terjejas) tetapi saya sudah cuba yang terbaik.
"Saya tidak berputus asa cuma saya rasa sepatutnya mampu buat yang lebih baik.
"Saya minta maaf atas segalanya," katanya.
Jurulatih negara, Christian Booker, mempertahankan prestasi anak buahnya itu selain Wendy telah mempamerkan kesungguhan tinggi dengan berkata: "Saya nampak akhir terjunannya tidak begitu baik, mungkin dia tidak begitu yakin atas (faktor) kecederaan bahu yang dialaminya.
"Ia tidaklah memberi pengaruh besar kepada terjunannya cuma mungkin pada hari ini ia lebih menjejaskannya."
#Sukan Olimpik #Terjun #Tokyo 2020
;