SUKAN LAIN

Tokyo 2020: Musuh utama Khairul Anuar hanyalah diri sendiri

Shaiful Shamsudin 28/07/2021 | 13:45 MYT
Pemanah recurve negara, Khairul Anuar Mohamad, selangkah lagi mengulangi prestasi Sukan Olimpik London 2012 selepas mara ke pusingan ketiga.
Begitupun, fikiran berkecamuk mengganggu bidikan tekalnya ketika berdepan dua seteru dalam kempen temasya Tokyo 2020 hari ini.
Kurang menyerlah pada awalnya di Pusat Memanah Yumenoshima, tetapi perkara buruk menimpa wakil Finland, Antti Vikstrom, yang mempunyai masalah busur dalam pusingan pertama membantu Khairul Anuar meningkat keyakinan dan lebih bersemangat.
"Permulaan set kelima saya mula hilang fokus dan kehilangan rentak panahan di situ.
"Jadi jurulatih berpesan supaya tekankan lagi tentang fokus untuk mengemaskan semula bidikan saya," katanya di Nadi Arena.
Kejayaan terus mengiringi naib juara dunia 2019 itu dalam shoot off ketika bertemu Wang Dapeng dari China pusingan 16, dan sudah semestinya dia mahu menonjolkan aksi lebih tenang untuk membuka laluannya bagi meneruskan kemaraan.
"Setiap kali menyertai pertandingan pasti saya tidak mahu kalah tapi diri sendiri yang mengundangnya kerana terlalu memikirkan kemenangan dan situasi semasa.
"Ia membuatkan diri sendiri 'kacau' sedikit.
"Untuk kedua-dua kebangkitan, mungkin sudah rezeki dan ditakdirkan untuk menang hari ini.
"Ya, saya berpuas hati dengan kemenangan ini tapi daripada segi panahan masih ada kekurangan," katanya.
#Sukan Olimpik #Tokyo 2020
;