Tokyo 2020: Lee Hup Wei terlampau tertekan

Muzaffar Musa
Julai 30, 2021 15:04 MYT
Jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei, mengakui bahawa dia terlalu tertekan memburu tempat ke final sehingga gagal merekodkan sebarang catatan dalam pusingan kelayakan Kumpulan A, Sukan Olimpik Tokyo 2020 hari ini.
Hup Wei jelas tidak dapat mempamerkan aksi terbaiknya sehingga gagal melepasi ketinggian pertama 2.17 meter di Stadium Olimpik Tokyo.
Mengimbau perjalanannya ke Tokyo, Atlet kelahiran Selangor berusia 34 tahun itu terlalu bercita-cita untuk layak ke final edisi kali ini, lebih-lebih lagi selepas berjaya melakukannya dalam Kejohanan Olahraga Dunia di Doha, Qatar pada 2019.
Bagaimanapun, pandemik COVID-19 dan penundaan setahun Sukan Olimpik Tokyo memperlihatkan betapa dia bergelut dengan pelbagai dugaan, termasuk beberapa siri kecederaan dan positif koronavirus.
Hup Wei, yang ditemu bual wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi, selepas acara itu jelas tidak dapat membendung perasaannya sehingga menangis teresak-esak menyedari kekecewaan seluruh rakyat Malaysia sambil ia juga merupakan Sukan Olimpik terakhirnya
"Saya rasa saya sangat tertekan di sana, saya tidak dapat rasa apa-apa. Saya mencuba untuk mencarinya tetapi tidak dapat juga. Saya sudah buat yang terbaik.
"Untuk datang ke sini bukannya senang, saya sampai ke sini dengan melalui banyak halangan. Tetapi apabila di sini saya tidak dapat buat yang terbaik, saya minta maaf.
"Jurulatih sudah memberikan tunjuk ajar mengenai segala kesilapan saya tetapi saya tidak dapat memperbetulkannya kerana saya amat tertekan. Saya tidak dapat perasaan itu.
"Ketinggian 2.17 itu bukanlah masalahnya kerana masalahnya adalah diri saya sendiri yang melakukannya dengan tidak bagus.
"Segalanya serba tidak kena, larian saya, lompatan saya, saya mencuba untuk mencarinya tetapi tidak dapat juga.
"Saya memang sudah bersedia tetapi hari ini semuanya tidak menjadi.
"Ini adalah Sukan Olimpik terakhir saya. Saya tidak akan ke Sukan Olimpik Paris 2024," katanya.
#Olahraga #Lee Hup Wei #Sukan Olimpik Tokyo 2020 #Lompat tinggi
;