Tinju: Quigg bersara selepas tewas kepada Carroll

Muzaffar Musa
Mac 9, 2020 12:46 MYT
Bekas juara dunia kategori super-bantamweight, Scott Quigg, mengumumkan persaraannya daripada sukan tinju selepas tewas kepada Jono Carroll kelmarin.
Quigg -- yang merupakan pemegang tali pinggang super-bantam dari 2013 hingga 2016 -- menyertai acara super-featherweight menentang Caroll di Manchester tetapi peninju berbangsa Inggeris itu gagal menandingi kekuatan lawannya sebelum mengaku kalah dalam pusingan ke-11.
Peninju berusia 31 tahun itu membayangkan persaraannya selepas penentuan itu dengan berkata: "Ini merupakan pertarungan wajib menang. Berdasarkan prestasi, saya tidak tahu apa yang masih kurang, jika ia benar, terima kasih."
Quigg (35-3-2) terlebih dahulu mengesahkan bahawa dia akan mengantung sarung tangannya dalam satu kiriman Instagram semalam dengan menulis: "Malangnya, malam tadi bukanlah malam saya dan ia menunjukkan kepada saya bahawa harinya telah tiba!
"Ia merupakan pengembaraan yang hebat dan saya tidak dapat memberikan apa-apa lagi kepada sukan ini dan ia satu kegembiraan untuk saya bekerja di samping (promoter) @eddiehearn.
"Saya sudah mencapai segala-gala yang diinginkan, dedikasi dan keupayaan yang mendorong saya untuk melakukannya.
"Dan saya boleh meninggalkannya dengan mendongak!
"Terima kasih kepada semua kerana sokongan yang tidak pernah terhenti sepanjang beberapa tahun ini," katanya.
Aksi terhebat Quigg dapat dilihat ketika dia menewaskan Kiko Martinez dalam pusingan kedua di Manchester pada Julai 2015.
Bagaimanapun, rekod tanpa kalahnya musnah tujuh bulan kemudian selepas tewas kepada Carl Frampton dalam sebuah 'bout' yang telah lama dinanti-nantikan.
Quigg gagal mendapatkan prestasi terbaiknya selepas itu dan berdepan kekalahan kedua pada Februari 2018 -- tewas satu mata kepada Oscar Valdez selepas menurunkan berat badannya bagi menyertai acara featherweight WBO.
#Tinju #Scott Quigg
;